PENGHARGAAN … Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata daripada pihak penganjur pada Majlis Makan Malam Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak di Kuching, malam kelmarin.
KUCHING: Kerajaan Sarawak memulangkan semula hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dan gas kepada rakyat dalam bentuk pembangunan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu mampu dilakukan berikutan kejayaan rundingan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam hasil minyak dan gas.
“Sebab itulah, kita mampu dan berani memberi lebih banyak kepada rakyat. Saya mahu meningkatkan hasil negeri untuk tujuan ini.
“Bila saya lihat apa yang boleh kita capai melalui MA63 dan apa hak kita, saya memperjuangkannya walaupun (terpaksa) menentang Petronas dan mengenakan SST terhadap minyak dan gas,” katanya pada majlis makan malam Gabungan Pertubuhan Cina Sarawak di sini, malam kelmarin.
Sarawak mengutip SST berjumlah RM8 bilion hasil jualan produk petroleum sejak cukai berkenaan diperkenalkan pada 2019 hingga Ogos lalu.
Abang Johari berkata, negeri ini sedang menuju ke arah yang betul dan apa juga hasil yang diperoleh Kerajaan Sarawak akan kembali kepada rakyat.
“Sarawak sepatutnya mempunyai dasar ekonominya sendiri untuk mendorongnya menjadi sebuah negeri membangun. Memandangkan kita mempunyai sumber, kita mempunyai kekuatan sendiri.
“Untuk menambah nilai kepada sumber ini, kita memerlukan pengetahuan dan kata kunci di sini adalah pendidikan, tidak kira sistem (aliran) Cina atau kebangsaan.
“Hakikatnya, sekolah Cina bukan sahaja mendidik penduduk Cina, malah Melayu dan Dayak. Justeru, saya meneruskan apa yang sedia ada dalam sistem. Sebab itu, setiap tahun sekolah Cina mendapat pembiayaan sebanyak RM10 juta,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari bersetuju untuk memberi geran sepadan kepada jumlah yang dikumpul oleh Persekutuan Persatuan Cina Sarawak dalam usaha mengumpul dana untuk membina bangunannya sendiri.
“Sebagai contoh jika persatuan ini boleh mengumpul RM7 juta, saya akan memadankannya dengan RM7 juta lagi.
“Geran tambahan RM200,000 akan diperuntukkan kepada sayap Pemuda dan Wanita bagi tujuan penganjuran aktiviti tahunan mereka,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Cina sentiasa menjadi bahagian penting bagi Sarawak dengan visi dan ketekunan mereka dalam perniagaan, perdagangan dan industri di Sarawak.
“Mereka membantu kita selama ini dan di sinilah kita mesti tolong-menolong apabila kita ditimpa masalah.
“Sama seperti kaum dan etnik lain, tiada jalan lain untuk maju kecuali bekerjasama. Itulah sebabnya agenda pembangunan Sarawak adalah inklusif untuk semua,” katanya.