SEMANGAT PATRIOTIK…Anak-anak dengan penuh semangat patriotik mengenakan busana merdeka mereka.
KERIANGAN bersama rasa kesyukuran jelas terpancar di wajah para peserta kayuhan basikal bersempena Majlis Penangguhan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali 2022 berlangsung di sekolah tersebut baru-baru ini.
Kayuhan basikal sejauh 6.5 kilometer dimulakan dan berakhir di SK Abang Ali. Seramai 150 murid-murid serta ibu bapa bersama-sama mengayuh basikal dengan penuh semangat patriotisme.
Pelbagai bentuk basikal telah dihiasi dengan begitu cantik dan berwarna-warni dengan kibaran Jalur Gemilang serta bendera Sarawak.
Majlis Penangguhan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Kebangsaan Abang Ali 2022 telah dihadiri oleh tetamu khas Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu Mohammed Tumi serta hampir 900 murid-murid bersama ibu bapa masing-masing. Turut hadir, Guru Besar SK Abang Ali Hamdi Najdi.
Selain kayuhan basikal sejauh 6.5 kilometer, acara lain yang turut diadakan termasuklah pertandingan basikal berhias dengan menampilkan 30 penyertaan.
Kesemua basikal tersebut telah dihiasi dengan begitu cantik menggunakan Jalur Gemilang dan juga bendera Sarawak yang memperlihatkan mesej kemerdekaan yang dinikmati hari ini terus dipertahankan agar dapat diwarisi generasi akan datang.
Untuk merancakkan lagi Majlis Penangguhan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali 2022 dengan menampilkan acara Pertandingan Busana Merdeka.
Pertandingan tersebut disertai oleh 106 murid-murid memperagakan busana Merdeka sambil memperagakan dengan penuh bergaya.
Pertandingan Busana Merdeka juga mampu untuk menyemaikan benih rasa hormat dan cintakan negara Malaysia dalam diri anak-anak.
Acara lain yang turut diadakan ialah pertandingan mewarna dan melukis melibatkan seramai 130 peserta dan pertandingan keceriaan kelas sempena bulan kemerdekaan 2022.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Mohammed Tumi.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR