INI DIA… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg bersama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menunjukkan plak selepas ditandatangani oleh Premier Sarawak semasa menghadiri simbolik bagi menandakan siapnya projek fasa satu ‘Reefball’ di perairan Pulau Satang di Jetty Kampung Telaga Air, semalam.
KUCHING: Sebanyak 16,800 tukun tiruan diturunkan di sepanjang 1,000 kilometer perairan pesisir dari Tanjung Datu sehingga ke Lawas.
Ini sekali gus mencatatkan rekod sebagai kawasan projek tukun tiruan jenis ‘Reefball’ terpanjang di dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu juga berjaya membantu meningkatkan sumber perikanan dan pendapatan nelayan tempatan.
Katanya, banyak lokasi tukun tiruan diturunkan tidak perlu menunggu musim ikan untuk mendapatkan hasil perikanan kerana pasti ada banyak ikan di lokasi berkenaan.
“Ini memberikan banyak kesan positif kepada ekonomi masyarakat di kawasan persisiran.
“Selain itu, projek ini menampakan kejayaan apabila bukan sahaja ikan malah penyu juga sudah mula kelihatan di kawasan kita seperti di Telok Melano dan Samalaju di Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Jeti Kampung Telaga Air, semalam.
Terdahulu, beliau menyaksikan kerja melabuhkan tukun tiruan yang ke 16,800 dan terakhir pada fasa pertama yang dilakukan di kawasan perairan berhampiran Pulau Satang.
Abang Johari berkata, program semalam menandakan selesainya fasa pertama Projek Tukun Tiruan yang dimulakan sejak 2018 dengan kos RM 70 juta dan fasa kedua Projek Tukun Tiruan ini akan dimulakan tahun depan.
“Fasa kedua bagi projek ini ada hubung kait dengan industri pelancongan dengan memberi keutamaan bagi mewujudkan kawasan batu karang untuk tarikan penyelam dan spot memancing.
“Kami telah mengenalpasti beberapa kawasan tertentu bagi pelaksanaan Fasa kedua Projek Tukun Tiruan.
“Projek ini bakal membantu industri pelancongan dengan mewujudkan kawasan pembaikan ikan yang sesuai bagi aktiviti memancing. Sekarang sudah ada pengunjung dari Singapura yang datang ke Telaga Air untuk memancing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Jeti Kampung Telaga Air, semalam.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Dato Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi.
Oleh SHAHRUL QAIZAT