SATU kebanggaan buat empat anak Sarawak melakukan aksi terjunan dari bumbung Wisma Sanyan bersama 33 penerjun lain termasuk dari Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat dalam acara sukan ekstrem Sibu International BASE Jump 2022.
Ketua Kampung Sebiris, Lundu, Selip Ambun merasa berbesar hati mewakili kaum Salako dari Lundu untuk menyertai acara Sibu International BASE Jump 2022.
Beliau yang pertama dari kaum Salako menjadi penerjun BASE berharap, semangat beraninya itu akan menjadi dorongan dan inspirasi kepada golongan muda dan juga mereka yang sudah bersara daripada tentera di kampungnya untuk menceburi sukan lasak itu.
“Saya menyertai Sibu International BASE Jump pertama kali pada 2018. Tahun ini adalah kali kedua saya menyertainya dan berharap dapat melakukan lebih banyak terjunan.
“Ia adalah sukan lasak, tidak semua orang layak menjadi penerjun BASE Jump. Anda mesti mempunyai kesihatan yang baik, pengalaman dan semangat berani.
“Terjunan udara ‘Skydiving’ adalah terjunan dari tempat yang sangat tinggi. Manakala BASE Jump pula terjunan dari bangunan tinggi, dimana ketinggian terjunan ke tanah adalah singkat dan hanya mereka yang mempunyai kemahuan serta keberanian yang kuat mampu melakukan ini,” jelasnya.
BERFIKIR PANTAS DAN BERTINDAK
Katanya, setiap penerjun BASE Jump mesti boleh berfikir dengan pantas dan bertindak apabila berlaku perkara yang tidak dijangka.
“Saya telah melakukan terjunan dari pesawat kira-kira 920 kali sepanjang berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum bersara pada 2011 dengan kem terakhir di Johor Baharu,” ujarnya.
Eddy Sengalang, 46 peserta dari Kapit mengakui tidak pernah melakukan BASE Jump walaupun mempunyai pengalaman kira-kira 800 terjunan udara.
Menurutnya, terjunan pada Rabu merupakan pengalaman pertama buatnya dan pengalaman itu amat berbeza daripada terjun udara.
“Sekarang, saya mahu mencabar diri dalam BASE Jump, saya telah melakukan dua terjunan semalam dan merasa sangat teruja serta dalam masa yang sama merasa takut.
“Saya melakukan ini untuk Kapit, Sibu dan Sarawak. Saya akan melakukan yang terbaik sepanjang berlangsungnya acara ini,” jelasnya dengan penuh keyakinan.
LAKUKAN 800 TERJUNAN
Eddy pernah berkhidmat dalam Pasukan Khas Tentera Laut dan melakukan kira-kira 800 terjunan menggunakan terjun payung sehingga bersara.
Awang Radin Awang Salleh, 44, dari Kampung Sok, Matu tidak dapat mengambarkan pengalaman pertama kalinya menyertai Sibu International BASE Jump 2022.
“Saya merasa lebih berbangga kerana melakukan ini untuk Malaysia dan Sarawak,” ujarnya yang juga merupakan pesara tentera.
Sepanjang 21 tahun berkhidmat dalam ATM, beliau melakukan kira-kira 500 terjunan udara.
“Saya mencuba untuk melakukan BASE Jump dan mempunyai impian melakukanya di tanah air Sarawak yang tercinta ini.
“Saya merasa gembira kerana saya dapat memenuhi impian tersebut pada tahun ini. Selepas pandemik Covid-19, acara ini akhirnya dianjurkan semula,” jelasnya.
Sebagai persediaan untuk terjunan tersebut, katanya, beliau mendaftarkan diri dalam kursus BASE Jump di Sibu anjuran Kelab Kenyalang Sarawak.
“Selepas itu, saya melakukan dua terjunan dalam percubaan semalam. Ketika melakukan terjunan ketiga pagi tadi, saya secara tidak sengaja melepaskan brek menyebabkan saya terpaksa mendarat dengan keras.
“Saya tidak panik, dengan pengajaran yang saya pelajari daripada pengajar dan daripada pengalaman terjun udara, saya belajar untuk mengambil tindakan apabila perkara seperti ini berlaku.
“Apa yang kami pelajari daripada BASE Jump ini ialah, kami belajar bagaimana untuk keluar dari bangunan, untuk menggerakkan payung terjun dan jika sesuatu berlaku, apakah tindakan yang perlu kami ambil,” ujarnya lagi.
MAHU HARUMKAN NAMA SARAWAK
Senada dengan itu, Tait Janting, dari Sri Aman memberitahu, penyertaannya dalam BASE Jump bukan hanya untuk memenuhi minat, malah untuk mengharumkan nama Sarawak menerusi sukan lasak itu.
Menurutnya, tidak ramai penerjun BASE Jump di Sarawak iaitu hanya lima orang sahaja termasuk penerjun baharu.
“Kami menubuhkan kelab yang dipanggil sebagai Sarawak Kenyalang Club untuk menggalakkan golongan muda menceburi sukan ini, kami amat gembira mendapat sokongan daripada kerajaan.
“BASE Jump bergantung pada keberanian, hanya mereka yang berani mampu melakukannya. Jadi, bagi mereka yang ingin mencuba, mereka harus mencuba terjun udara terlebih dahulu dan menimba pengalaman dari situ,” ujarnya.
Tait yang juga merupakan pesara tentera telah melakukan terjunan pertama menerusi sesi pencubaan semalam.
Oleh AKUN GIMAN