PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini, Pahang diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.
Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.
Terdahulu SPR membincangkan tarikh penting urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.
Azhar berkata, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan akan berlangsung sehingga jam 11.59 malam pada 3 Julai.
Beliau berkata, tarikh buka permohonan undi pos pengundi dalam dan luar negara pula adalah pada 15 Mei dan tarikh tutup pada 18 Jun.
“Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah berjumlah RM4.3 juta,” katanya dalam sidang media di Menara SPR, di sini semalam.
Azhar berkata, SPR akan menggunakan Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.
Beliau berkata, seramai 832 petugas akan mengendalikan proses pengundian semasa hari berkenaan dan Pegawai Daerah Pekan Datuk Zaliza Zulkipli dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK kali ini.
Azhar berkata, 14 pusat mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan pada PRK itu, dan SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas manakala pengundi berstatus Orang Kelainan Upaya pula akan mengundi di Saluran 1.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah Daftar Pemilih Induk 2019 yang dikemas kini sehingga 7 Mei 2020.
“Daftar Pemilih itu mengandungi 20,990 orang yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis,” katanya, sambil menambah SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
Mulai 3 Jun katanya, pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my), atau menelefon ke talian 03-88927018, atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Mengulas mengenai proses penamaan calon, Azhar berkata calon-calon digalakkan untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum Hari Penamaan Calon.
Bakal-bakal calon dicadangkan untuk membuat pembayaran deposit secara dalam talian lebih awal bertujuan memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar, katanya. – BERNAMA