PATRIOTIK… Peserta dari empat Kelas PLF bersama warga KEMAS mengambil gambar kenangan di Perpustakaan Desa Poyut sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
EMPAT Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF), Jabatan Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) Marudi bergabung tenaga mengadakan aktiviti sempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2022 di Perpustakaan Desa Poyut Marudi.
Kelas PLF yang terlibat ialah Kelas PLF Rumah Entika Sungai Poyut A, Kelas PLF Kampung Dagang A dan B dan Kelas PLF Rumah Anja Sungai Selejau.
Penyelaras Kelas PLF KEMAS, Siti Salmah Abdullah berkata, tujuan aktiviti ini diadakan adalah bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan para peserta kelas PLF dan mewujudkan Keluarga Malaysia pelbagai kaum walaupun berbeza kefahaman dan bangsa serta untuk menghayati Hari Kebangsaan sepenuhnya.
Antara perisian aktiviti hari itu ialah peserta dikehendaki mewarna gambar bunga raya iaitu bunga kebangsaan negara Malaysia dan mewarna gambar logo “Keluarga Malaysia”
Pada masa sama, para peserta PLF yang menyertai aktiviti sambutan Bulan Kemerdekaan turut diperkenalkan dengan sembilan Perdana Menteri Malaysia dan seterusnya peserta Kelas PLF mempersembahkan nyanyian lagu patriotik dan mengibar Jalur Gemilang.
Sementara itu Pegawai Kemahiran dan Komuniti, Hamisah Saadi berkata, sambutan Bulan Kemederkaan ini dapat memberi manfaat serta memberi banyak maklumat kepada para peserta PLF terutama tentang isu-isu semasa.
Katanya, mereka juga boleh mendapat banyak ilmu pengetahuan melalui aktiviti Kelas PLF ini yang juga dikenali sebagai Kelas Dewasa dan diadakan di rumah-rumah panjang.
Malah katanya, melalui Kelas PLF ini mereka juga dapat memupuk semangat kerjasama, bertolak ansur dan bantu- membantu antara satu sama lain.
Katanya, walaupun sambutan Bulan Kemerdekaan ini diadakan secara sederhana tetapi ia disambut meriah dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan peserta Kelas PLF KEMAS Marudi.
Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Penyelaras Kelas PLF Kemas Marudi Cikgu Siti Salmah Abdullah dan Cikgu Rosmawati Peterus di atas kejayaan menganjurkan aktiviti ini.
Beliau juga merakamkan terima kasih kepada staf Perpustakaan Desa Poyut, Razis Kumar Bujang yang telah memberi kerjasama baik dalam menjayakan akitiviti PLF. Turut hadir ialah Penyelia Bina Insan, Syarifah Azar.
Oleh JIKU JUGUONG