RAIKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KELAHIRAN… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tunku Bujang sempat meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Premier Sarawak dengan memotong pulut kuning dalam Majlis Penangguhan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam dan Liqa Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia di hotel terkemuka, Kuching, kelmarin. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Tiga pusat astronomi di negeri ini bakal menarik minat mereka yang ingin mendalami ilmu falak dan galaksi, selari dengan dasar pendigitalan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini termasuk rancangan pembinaan pusat astronomi yang akan dibangunkan di kawasan Pantai Damai.
“Kita sudah ada sebuah pusat astronomi di Miri yang siap dibina (Julai tahun lalu) dan sebuah lagi di Bintulu masih dalam pelaksanaan.
“Insya-Allah, kalau rezeki Sarawak bertambah, kita akan ada pusat astronomi di kawasan Pantai Damai yang akan kita bangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia ke-2 di sini, malam kelmarin.
Pusat falak Miri berfungsi sepenuhnya sebagai pusat cerapan dan takwim, pusat penyelidikan dan perkembangan ilmu falak, serta sebagai salah satu sumber pusat pelancongan di Sarawak.
Abang Johari berkata, dalam usaha membina pusat astronomi atau pusat falak, pihaknya sering merujuk kepada Jabatan Mufti Negeri Sarawak termasuk yang bakal dibina di Damai.
Menurutnya, pusat astronomi itu bakal menjadi satu tarikan kepada para belia untuk mempelajari ilmu ilmu cakerawala.
“Orang Islam mesti mempunyai ilmu angkasa.
“Sepatutnya alam cakerawala, ilmunya dikuasai oleh orang Islam dan di Sarawak saya melaksanakan ekonomi digital guna kaedah digital dan digital adalah asas ilmunya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa mendukung ilmu pendigitalan kepada anak-anak Sarawak menerusi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang diterapkan pada masa ini.
“Bidang STEM akan menarik minat belia untuk mendalami ilmu angkasa,” katanya.
Liqa’ Mahabbah ini merupakan kejohanan sukan dwitahunan yang melibatkan semua Jabatan Mufti seluruh negara.
Inisiatif ini dimulakan oleh Jabatan Mufti Perak yang berjaya menganjurkan Liqa yang pertama pada 2019.
Sepatutnya penganjuran oleh Jabatan Mufti Sarawak adalah pada 2021 namun kekangan pandemik menyebabkannya ditangguh ke tahun ini.
Selain itu, Liqa’ ini adalah wadah jalinan ukhuwah dan kerjasama erat dalam kalangan warga jabatan mufti se-Malaysia di samping membudayakan dan mengamalkan gaya hidup sihat melalui sukan.
Liqa’ kali ini meyaksikan kesemua 14 Jabatan Mufti Se-Malaysia menyertai kejohanan dan berentap dalam 11 acara yang dipertandingkan.
Kali ini, Jabatan Mufti Negeri Sarawak merangkul juara keseluruhan manakala Jabatan Mufti Negeri Selangor tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi Jabatan Mufti Negeri Sembilan.