FAIZAL BUJANG
SAINGAN Pump Boat Daerah Simunjan yang mula dilangsungkan sejak tahun 2018 diadakan di Sungai Kampung Sageng, Simunjan jelas mempunyai daya tarikan tersendiri.
Tidak hanya berupaya menghimpun kehebatan para pelumba tempatan dalam sukan air berstatus lasak itu, malah, penganjurannya juga berupaya menjadi daya penggerak kepada tranformasi pembangunan sukan khususnya di Daerah Simunjan.
Ia sekali gus mampu menjadi menyumbang pembentukan keharmonian masyarakat di sekitarnya.
Itu diakui sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris tatkala mengulas mengenai perlumbaan berkenaan.
Menurutnya, penganjuran perlumbaan tersebut bukan sahaja langkah tepat mempopularkan sukan lasak itu di kalangan peminat serta generasi terlibat, ia juga adalah pendekatan memberi peluang kepada pelumba bagi mempamerkan kehebatan sebenar mereka dalam mengendali bot masing-masing.
“Satu pendekatan yang amat tepat sekali di sebalik pengelolaan perlumbaan tersebut kerana saya percaya ia bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengetengah bakat masing-masing.
“Bahkan pada masa sama mampu memberi pengalaman berharga kepada mereka,” ujar Awla.
Pada masa sama, beliau yakin pengelolaan sukan tersebut turut menjadi daya tarikan baharu kepada pengunjung untuk datang beriadah ke Daerah Simunjan.
“Kita tahu perlumbaan ini dianjurkan setiap tahun dan ini boleh dijadikan daya tarikan baharu terhadap ekopelancongan khususnya di Daerah Simunjan,” tambah beliau.
Terdahulu, Awla turut mengucap terima kasih kepada semua pihak atas sokongan diberikan dalam menjayakan penganjuran perlumbaan tersebut.
Apa pun katanya, saingan untuk musim akan datang pasti lebih meriah selain berupaya menghimpunkan pelumba dari kawasan lain sekitarnya.
Terdahulu dalam ucapannya memuji usaha dilakukan Kelab Sukan, Kebajikan Dan Sosial Kampung Sageng (KSKDS), Simunjan kerana telah berjaya mengelolakan perlumbaan pump boat itu.