SELAMAT BEKERJASAMA… Mohd Kamil Abdul Latiff menyampaikan cenderamata kepada Hudallah S H pada majlis
pengaktifan GABMA, di Kem JPG Tebedu, semalam.
KUCHING: Kaedah rondaan berjalan kaki dan rondaan berkenderaan serang tangkap (SERDAP) diguna pakai untuk memastikan keselamatan di sempadan Sarawak/Kalimantan.
Ini bagi mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan dan penyeludupan, dengan kerjasama tiga Pos Gabungan Malaysia Indonesia (GABMA) yang kembali digerakkan semula.
Panglima 3 Briged Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Kamil Abdul Latiff berkata, pengaktifan semula tiga Pos GABMA) itu membuktikan dengan jelas usaha Malaysia-Indonesia meneruskan dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua pihak, setelah tertangguh sejak awal 2020 susulan penularan wabak Covid-19.
Katanya, pos GABMA yang dibuka semula semalam menerusi Operasi Awas Keris Parang di Malaysia ialah di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Biawak di Lundu, Kem JPG Tebedu (Serian) dan Kem JPG Lubok Batu (Sri Aman), manakala Indonesia pula ialah di Pos Nanga Badau, Pos Entikong dan Pos Sajingan.
“Penugasan GABMA (Op Awas Keris Parang) adalah sebahagian daripada operasi kawalan sempadan Malaysia-Indonesia yang dikawal sepanjang 24 jam.
“Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (Malaysia) menghantar lapan anggota ke setiap Pos Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) manakala Batalion Infanteri 645/Gardatama Yudha (Indonesia) menghantar 10 anggota ke setiap Pos Tentera Darat Malaysia (TDM),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Kamil merasmikan upacara pengaktifan pos GABMA semalam di kem JPG Tebedu, Serian.
Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan perkongsian maklumat berkaitan isu pertahanan serta kerjasama antara kedua-dua angkatan tentera di pelbagai peringkat termasuk pertukaran pegawai, latihan ketenteraan dan pendidikan pada 9 Ogos lalu.
Di samping itu, Menteri Pertahanan Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia Prabowo Subianto pada hari yang sama mempengerusikan bersama mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am ke-42 antara dua negara yang merangkumi persetujuan mempercepat penugasan GABMA yang melibatkan 14 jawatan di kedua-dua negara.
Oleh RYNNA SHA’ERRA