KUCHING: Buko Pandan adalah sejenis makanan pencuci mulut sejuk di Filipina yang berkrim dan dipenuhi perisa pandan.
Ia diperbuat dengan pelbagai bahan seperti isi kelapa yang lembut dan manis, susu pekat manis, dan jeli pandan.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa gerai menjual makanan manisan atau pencuci mulut di sekitar bandar raya Kuching ada kelihatan Buko Pandan yang menyerupai makanan di Filipina.
Pengusaha Buko Pandan Ash Natasha Lee, 27, berkata, beliau memulakan perniagaan Buko Pandan ini sejak 2018.
“Alhamdulillah…sejak 2018 mendapat sambutan yang hebat daripada pelanggan kami sehingga kini.
“Rasa Buko Pandan yang dijual oleh saya mempunyai keistimewaannya tersendiri ‘authentic’. Tidak sama seperti rasa Buko Pandan yang lain,”katanya ketika ditemu bual Utusan Sarawak.
Tambah Ash, resepi Buko Pandan yang dihasilkan oleh beliau telah diolah mengikut cita rasa tersendiri.
“Buko Pandan kami dibuat secara segar dan tidak dibiarkan bermalaman di dalam peti sejuk. Jika hari ini nak membuat penghantaran jadi kami akan membuat hari ini juga.
“Ini kerana untuk mengekalkan kualiti Buko Pandan supaya pelanggan berasa puas hati membeli dan tidak sakit perut. InshaAllah….
“Selain dari menjual Buko Pandan saya juga ada membuka peluang untuk orang ramai yang nak mencari rezeki untuk menjadi ejen. Contohnya, menjual latok dan macam-macam lagi. Selain daripada itu, saya dan suami turut mempunyai syarikat produksi iaitu fotografi, videografi, korporat, MCP dan lain-lain,”ujarnya.
Jelasnya lagi, atas permintaan ramai dari peminat Buko Pandan by Natashannn’s, pihaknya akan membuka gerai di rumah sebagai permulaan.
“Harapan kami, orang ramai dapat menerima Buko Pandan by Natashannn’s ini dan melebarkan luas lagi perniagaan Buka Pandan ini untuk dikongsi dengan orang ramai yang turut berminat dalam perniagaan Buko Pandan.”
Oleh AZREEN KERIA