KERJASAMA ERAT… Dato’ Sri Nancy Shukri bergambar bersama 12 wakil dari negara ASEAN pada Majlis Perasmian 23rd Meeting of The ASEAN Sub-Committee on Culture (SCC) And The 11th Meeting of ASEAN Plus Three Cultural Cooperation Network (APTCCN) di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan visa kemasukan berganda kepada pelancong asing untuk melawat negara ini.
“MOTAC menyasarkan lebih lapan juta pelancong berkunjung ke Malaysia sehingga penghujung tahun ini. Oleh itu, kita berharap KDN akan memperkenalkan visa kemasukan berganda bagi memudahkan pelancong ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian 23rd Meeting of The ASEAN Sub-Committee on Culture (SCC) And The 11th Meeting of ASEAN Plus Three Cultural Cooperation Network (APTCCN)di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
Tambahnya, buat masa ini hanya pelancong dari India yang mempunyai visa tunggal.
“Sebenarnya, ramai pelancong dari India hendak masuk ke Malaysia tetapi mereka cuma mempunyai visa tunggal. Jadi, kita ada memohon kepada KDN untuk membolehkan mereka (India) masuk ke sini.
“Saya harap KDN akan pertimbangkan perkara ini (visa kemasukan berganda). Ia tidak hanya untuk pelancong India sahaja malah turut melibatkan pelancong lain,” ujarnya.
Jelasnya, surat permohonan untuk visa kemasukan berganda telah dihantar kepada KDN disamping MOTAC juga ada berbincang bersama pihak berkenaan berhubung perkara ini.
“Ini mungkin akan dijadikan satu dasar sementara bagi Malaysia sebab kita memerlukan pelancong datang ke sini.
“Sekarang, jumlah pelancong telah melebihi sasaran iaitu sebanyak 4.5 juta pelancong telah dicatatkan yang mana paling ramai dari Singapura, Thailand dan Filipina.
“Sasaran kita ialah lebih lapan juta pelancong pada penghujung tahun ini,” katanya lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN