KUALA LUMPUR: Hasil sawit dan produk sawit dapat dipertingkatkan kepada 23 peratus berbanding 19 peratus sebelum ini jika wujud penambahbaikan dan peningkatan teknologi di peringkat perladangan atau pengilangan.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi adalah penting untuk memberi nilai tambah kepada sesuatu produk selain menjadikan industri sawit maju ke hadapan dan bagi mengelak disifatkan sebagai ketinggalan zaman.
“Sebagai contoh apabila kita memperkenalkan teknologi baharu untuk industri sawit, kita juga mencari kegunaan baharu bagi teknologi tersebut.
“Daripada kita hanya memikirkan untuk menghasilkan produk makanan, kita juga boleh menghasilkan produk bukan makanan seperti sabun, kosmetik, oleokimia dan sebagainya,” katanya dalam rancangan Bual Bicara terbitan Bernama TV, di sini semalam.
Setakat ini, MPOB telah menghasilkan 667 teknologi untuk industri sawit dengan 30 peratus daripadanya diberikan kepada pemain industri dan dikomersialkan dengan nilai pasaran mencecah RM3 bilion.
Ketika ditanya mengenai impak Covid-19 terhadap industri sawit pada masa ini, Ahmad Parveez mengakui industri itu tidak banyak terjejas kerana operasinya dapat diteruskan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Kerjasama yang diberikan oleh pemain industri yang mematuhi sebaik mungkin SOP yang dibenarkan menyebabkan industri sawit negara tidak menerima banyak kesan.
“Selain itu, kelulusan kepada industri sokongan yang berkait rapat dengan industri sawit seperti pengangkutan, analisis minyak dan mekanik untuk kerja-kerja membaiki mesin yang rosak juga membantu mengelakkan industri sawit daripada terjejas,” tambahnya. – Bernama