JOHOR: Bank Rakyat sebagai bank koperasi Islam terbesar di Malaysia menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.69 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) bagi tahun kewangan berakhir 2019.
Sumbangan zakat perniagaan ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat sebanyak RM32.99 juta yang telah diluluskan oleh Bank Rakyat pada tahun kewangan berakhir 2019 untuk agihan tahun 2020.
Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan semalam merupakan sebahagian daripada inisiatif Bank Rakyat bagi menghargai masyarakat di Johor yang banyak memberi sokongan terhadap perkembangan perniagaan Bank Rakyat.
Penyerahan zakat perniagaan itu diserahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor.
Penyerahan zakat perniagaan ini turut disaksikan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohammad Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Dato’ Rosman Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat.
Menurut Dato’ Sri Wan Junaidi, penyerahan sumbangan zakat ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan penerima dan kerajaan negeri terutamanya semasa dunia sedang menghadapi penularan wabak Covid-19 dan membantu mereka yang terkesan akibat wabak ini.
“MEDAC akan sentiasa melihat keperluan yang timbul dari semasa ke semasa bagi membantu semua pihak yang terjejas terutamanya semasa tempoh penularan wabak Covid-19,” ujar beliau.