UJIAN CALITAN… Seorang pekerja kesihatan mengambil sampel ujian calitan daripada seorang wanita untuk menguji Covid-19 di Daerah Jing’an di Shanghai, China. • Foto AFP
BEIJING: Sekitar 300,000 penduduk dikurung di sebuah bandar kecil China pada Selasa lalu selepas hanya satu kes Covid-19 dikesan berikutan strategi ketat Covid-19 tanpa toleransi Beijing yang menunjukkan tiada tanda-tanda reda.
China adalah ekonomi utama terakhir yang terpaku pada dasar Sifar-Covid, menghancurkan wabak baharu dengan penutupan segera, kuarantin paksa dan sekatan perjalanan yang membebankan walaupun meningkatkan keletihan orang ramai dan merosakkan ekonomi.
Pihak berkuasa di beberapa wilayah mengenakan pelbagai sekatan ketika mereka bergelut untuk mengurangkan cetusan baharu yang didorong oleh varian Omicron yang merebak pantas.
Selepas melaporkan jangkitan domestik baharu, hab pembuatan keluli Wugang di Wilayah Henan mengumumkan pada Isnin lalu bahawa, ia akan melaksanakan tiga hari ‘kawalan tertutup’ sebagai tindak balas kepada keperluan pencegahan penyakit, menurut notis rasmi.
Menurut notis itu, tiada seorang daripada 320,000 penduduk di bandar itu dibenarkan menjejakkan kaki di luar rumah mereka sehingga tengah hari Khamis ini dan keperluan asas akan dihantar oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Penduduk tidak dibenarkan menggunakan kereta mereka tanpa kebenaran dan mesti mendapatkan kebenaran rasmi untuk melakukan perjalanan dalam keadaan ‘gelung tertutup’ sekiranya berlaku kecemasan, kata notis itu.
Menurut Bloomberg, bandar ini adalah rumah kepada salah satu firma keluli terbesar China, Wuyang Iron & Steel Co., yang mengeksport ke Amerika Syarikat, Jepun dan ekonomi Barat utama yang lain,
Hampir 250 juta orang di China kini berada di bawah beberapa jenis langkah kawalan virus yakni lebih dua kali ganda jumlah minggu lalu menurut bank Jepun, Nomura pada Isnin lalu.
Wabak yang berterusan dan tindak balas rasmi yang keras melemahkan harapan bahawa Beijing bersedia untuk beralih daripada jenis ‘sekatan kejam’ yang dilihat awal tahun ini, apabila puluhan juta terkurung di rumah mereka, kadang-kadang selama berminggu-minggu.
China merekodkan 347 kes domestik baharu pada Selasa lalu, lebih 80 peratus daripadanya tidak menunjukkan gejala, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.
Kebimbangan semakin meningkat mengenai langkah Covid-19 yang lebih ketat di Shanghai, yang mengalami penutupan dua bulan yang melelahkan pada awal tahun ini diselingi oleh kekurangan bekalan dan protes terpencil.
Kebanyakan daripada 25 juta penduduk Shanghai diarahkan untuk mendapatkan dua ujian Covid-19 antara Selasa dan Khamis, kerana angka kes harian terus berlegar dalam dua digit.
Di Wilayah Anhui timur, pihak berkuasa minggu lalu menjerumuskan 1.7 juta orang ke dalam ‘kurungan’ dan penduduk di satu daerah diarah akan menjalani ujian calitan besar-besaran pusingan ke-15 pada Selasa lalu, menurut notis rasmi. -AFP