TAWARKAN PENYELESAIAN PEMBAYARAN MASA NYATA… Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN mengenai cara untuk mewujudkan, menyelaraskan dan memacu penggunaan rangkaian pembayaran masa nyata moden. Berlandaskan rangkaian pembayaran masa nyatanya pada ISO 20022, ia pantas menjadi antara persekitaran pembayaran masa nyata yang paling harmoni dan canggih di dunia, serta landasan paling ideal untuk memacu penerapannya, dan menyediakan pelbagai perkhidmatan nilai tambahan yang baharu.
KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan pasaran pembayaran masa nyata kelima paling pesat berkembang di seluruh dunia dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 26.9 peratus, menurut edisi ketiga laporan Prime-Time for Real Time 2022.
Laporan itu diterbitkan oleh syarikat perisian global yang menawarkan penyelesaian pembayaran masa nyata, ACI Worldwide, dengan kerjasama syarikat data dan analitik terkemuka, GlobalData, serta Pusat Kajian Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR).
Dalam kenyataan pada Selasa, ACI Worldwide menjelaskan berdasarkan laporan itu, Malaysia memperlihatkan kepantasan yang luar biasa dalam pelaksanaan pembayaran masa nyata di seluruh negara, serta penerapan yang pantas dalam kalangan peserta bank dan bukan bank.
Ia menambah, mengikut laporan itu, Malaysia mencatatkan 1.1 bilion transaksi pembayaran masa nyata pada 2021, sekali gus membantu menjimatkan kos yang dianggarkan AS$434 juta untuk perniagaan dan pengguna, serta menjana keluaran ekonomi tambahan sebanyak AS$364 juta bersamaan dengan 1.11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Menurut laporan itu, Malaysia terus memacu penerapan pembayaran masa nyata dan memperkenalkan aliran perkhidmatan moden, menjadikannya antara pasaran pembayaran masa nyata paling canggih di dunia.
“Perkembangan pembayaran masa nyata Malaysia adalah pantas, unik dan canggih, kerana ia merangkumi penerapan pantas yang dibina atas transaksi bernilai rendah, evolusi pantas ke arah perkhidmatan lebih canggih dengan nilai tambahan, serta kerajaan yang bertekad menyokong penerapannya,” tambah ACI Worldwide.
ACI Worldwide menjelaskan, laporan itu menjejaki volum pembayaran masa nyata dan pertumbuhan merentasi 53 negara.
Laporan yang merangkumi kajian impak ekonomi buat julung kalinya itu menawarkan pandangan menyeluruh mengenai manfaat ekonomi pembayaran masa nyata terhadap pengguna, perniagaan dan ekonomi merentasi 30 negara.
Ia meliputi semua negara G20, kecuali Rusia.
Naib Presiden dan Ketua ASEAN, ACI Worldwide, Chee Cheng Ong berkata, Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN mengenai cara untuk mewujudkan, menyelaraskan dan memacu penggunaan rangkaian pembayaran masa nyata moden.
“Berlandaskan rangkaian pembayaran masa nyatanya pada ISO 20022, ia pantas menjadi antara persekitaran pembayaran masa nyata yang paling harmoni dan canggih di dunia, serta landasan paling ideal untuk memacu penerapannya, dan menyediakan pelbagai perkhidmatan nilai tambahan yang baharu,” katanya.
Menurut ACI Worldwide, perkembangan pembayaran masa nyata di Malaysia bermula pada Disember 2018, susulan kemunculan sistem pembayaran masa nyata baharu, DuitNow, yang diperkenalkan oleh rangkaian pembayaran nasional dan penyedia infrastruktur pusat, PayNet. – Bernama