SHEILA ZAIDI
KUCHING: Sarawak mencatatkan satu kes positif Covid-19 semalam membabitkan seorang pelajar yang balik dan menuntut di Temboro Karas Magetan, Jawa Timur Indonesia.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pelajar berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Sibu.
“Ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang diambil daripada pelajar tersebut semasa di Pusat Kuarantin di Hotel Pullman Kuching sebanyak dua kali adalah negatif.
“Namun, ujian kali ketiga yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu menunjukkan keputusan positif,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurut Uggah, bilangan kes orang yang disyaki (PUI) semalam pula mencatatkan sebanyak 62 kes, manakala PUI yang masih menunggu keputusan ujian adalah sebanyak 15 kes.
Sementara itu, 16 kes pula telah dilaporkan sembuh dan discaj dari hospital, katanya.
Tambah Uggah, daripada 16 kes tersebut, 14 kes adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala dua kes lagi dari Hospital Sibu.
Daripada jumlah keseluruhan kes, 71.69 peratus kes positif Covid-19 telah sembuh, jelasnya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga memutuskan arahan kuarantin di rumah bagi rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.
Manakala untuk Bahagian Miri khasnya (kawasan pedalaman seperti Bario, Mulu dan Long Lama) yang tidak mempunyai kemudahan saringan Covid-19 di klinik, mereka dikehendaki untuk dikuarantin di pusat kuarantin untuk diambil sampel.
Kata Uggah, sekiranya keputusan sampel adalah negatif, barulah mereka dibenarkan pulang ke rumah.