AKUN GIMAN
KAPIT: Penduduk sekitar Kapit termasuk Song dan Belaga diberi jaminan bahawa bekalan makanan dan keperluan bagi perayaan Aidilfitri dan Gawai Dayak adalah mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Al Redzamani Abdul Razak berkata, premis di daerah itu masih mempunyai bekalan yang mencukupi walaupun ancaman virus Corona (Covid-19).
“Kami akan memastikan bekalan keperluan yang berterusan dan semua barangan akan dijual dengan harga yang munasabah.
“Pemeriksaan ini juga memastikan barangan kawalan seperti gula, minyak masak, dan tepung dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tegasnya, seksyen Penguat kuasa KPDNHEP Kapit telah memeriksa beberapa premis pasaraya dan kedai runcit di seluruh Kapit dan Song melibatkan pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga.
Beliau menambah, tinjauan dilakukan di beberapa peruncit dan premis tumpuan, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermula 18 Mac yang lalu.
“Setakat semalam, tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan makanan atau peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa sebab munasabah,” ujarnya sambil memberitahu KPDNHEP mengawasi harga barangan setiap hari sejak itu.
Al Redzamani juga memberi amaran kepada semua peniaga di sekitar Kapit, Song dan Belaga untuk tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan kawalan termasuk topeng penutup mulut dan muka semasa musim wabak yang sedang berlaku atau mereka mungkin menghadapi tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 atau Akta Kawalan Bekalan AKB 1961.
Sementara itu, dilaporkan bahawa pengguna di sekitar Kapit nampak tenang di tengah penyebaran Covid-19 dengan kebanyakan pasar raya masih mempunyai stok barang keperluan dan barangan lain.
Orang ramai dilihat tidak beratur panjang di pasar raya di sekitar Kapit sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Barang makanan asas seperti beras, minyak masak dan gula juga boleh didapati di pasar raya, dan kebanyakan pengguna dilihat membeli barangan keperluan harian seperti hari-hari biasa.
Perkhidmatan tongkang juga masih dibenarkan beroperasi seperti biasa yang menjadi pengangkutan utama membawa barangan keperluan daripada pemborong di Sibu selain menggunakan jalan Sibu-Kapit-Sibu.
Peruncit tumpuan juga memberi jaminan barangan keperluan yang dijual mencukupi memandangkan tiada halangan untuk mereka mendapatkan barangan dari Sibu.
“Tidak ketinggalan juga penduduk di pedalaman tidak terkecuali diberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi.
“Projek Penyeragaman Harga Barang Negara masih diteruskan dan tiada halangan kepada pihak penghantar untuk menghantar bekalan keperluan di kawasan pengedaran yang ditetapkan.” ujarnya lagi.
Pengguna boleh melaporkan aduan melalui talian hotline 1 800 886 800, pejabat KPDNHEP Kapit 084-799678/ 084-799963 atau e-aduan di http://e– aduan.kpdnhep.gov.my atau aplikasi WhatsApp 019 2794317.