KUCHING: Seorang sukarelawan dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkata aktiviti penjualan dadah mungkin sudah kembali aktif berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata dengan PKPB, beliau sudah ternampak kenderaan di kawasan perumahan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Dari tinjauan yang dibuat, beliau ternampak beberapa tempat pengedaran di Jalan Arang dan Jalan Burung Lilin.
Penjual dadah ini, menurut beliau, akan meminta pembeli supaya membuat pembayaran menerusi bank dan kemudian menerima dadah di satu tempat yang ditetapkan.
Pada tengahari Selasa, sebuah kereta dilihat di sekitar Jalan Arang untuk mengambil dadah namun gagal setelah cuba mencari. Pemandu kereta tersebut kemudian kembali di dalam kereta yang berlainan dan kedua-dua pemandu mencari lagi dan setelah menjumpainya, mereka keluar dari kawasan perumahan tersebut.
Sukarelawan tersebut berkata statistik dadah telah menurun secara mendadak semasa PKP dan adalah sukar untuk mereka dilihat di luar. Pihak polis juga berjaya membuat beberapa tangkapan semasa PKP.
Polis sudah diberitahu berkenaan dengan aktiviti pengedaran dadah di Jalan Arang.