ANDY Jong Wan Joon menerima cek berjumlah RM100,000 disampaikan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan RM50,000 masing-masing daripada Shell, Petronas dan SEB ketika sesi kunjungan hormat FSJA kepada Premier Sarawak di pejabatnya.
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, kelmarin.
Kunjungan hormat yang dipimpin oleh Presiden FSJA Andy Jong Wan Joon bersama-sama wakil tiga penaja emas Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 iaitu Shell, Petronas dan Sarawak Energy Berhad (SEB) tersebut bertujuan menjemput Abang Johari menyempurnakan dan seterusnya menyampaikan Anugerah Premier Sarawak sempena KJA 2022 yang dijadualkan pada 9 Disember 2022 di Imperial Hotel, Miri.
Menurut Andy menerusi satu kenyataan media, penyertaan untuk KJA 2022 akan dibuka pada 1 Julai 2022 manakala penyertaan bagi penerbitan pula bermula pada 1 September 2021 sehingga 31 Ogos 2022 dan akan ditutup pada 9 September 2022.
“Pada tahun ini, pihak penganjur (FSJA) telah mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah penyertaan menerusi borang dalam talian bagi peserta yang ingin menghantar salinan lembut (soft copy) melalui storan awan (cloud storage).
“Peserta juga boleh menghantar salinan keras (hard copy) melalui pos terus ke alamat Malaysia Press Institute (MPI).
“Borang dalam talian boleh didapati di laman sesawang MPI mulai 1 Julai ini,” katanya.
Sebanyak 11 kategori kekal dipertandingkan dalam KJA 2022 iaitu Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Laporan Kelestarian, Anugerah Laporan Ekonomi dan Perniagaan, Anugerah Kewartawanan (Rencana dan Penulisan Berita), Anugerah Laporan Berita, Anugerah Berita Sukan, Anugerah Ekonomi Digital, Anugerah Kewartawanan Penyiaran, Anugerah Kewartawanan Foto, Anugerah Esei Foto serta Anugerah Premier Sarawak yang menawarkan hadiah tunai keseluruhan bernilai RM250,000.
Semasa kunjungan, Abang Johari turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Sarawak kepada FSJA, selaku penaja utama KJA sejak 2015.
Selain itu, Shell, Petronas dan SEB masing-masing menyumbangkan sebanyak RM50,000 bagi majlis berprestij tersebut.
Turut hadir, Pengurus Besar Perhubungan Kerajaan Shell Jonathan Jolly, Pengurus Hubungan Media Petronas Sarawak Johannes Ridu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat SEB Peing Tajang, Timbalan Presiden FSJA dan juga Penasihat Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Jacqueline Radoi David serta wakil-wakil lain dari FSJA, Shell, Petronas Sarawak dan SEB.