KAPIT: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengadakan sesi walkabout di Program Jualan Malaysia (PJM) ‘Rancak Hari Gawai’ di pekarangan Dewan Suarah Kapit, semalam.
PJM merupakan sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan oleh KPDNHEP menerusi sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan berteraskan konsep 3R iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan) dijangka menjana dan menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 bilion menjelang akhir tahun ini.
Selepas selesai sesi walkabout, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit merasmikan pembukaan Pasar Raya Keluarga yang baharu dibuka di Kapit.
Pasar Raya Keluarga menawarkan pilihan kepada warga Kapit untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan dan murah.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato’ Azman Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdayaupayaan Pengguna), Datin Roszanina Wahab, Pengarah Kanan-Sektor Barang Kawalan & Subsidi, Dato’ Stanley Tan, Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak, Peter J.Berinus Agang serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN