PEMAIN UiTM FC Muhammad Faris Hafiz Azhar cuba melepasi pemain Kuching City FC Yuki Tanigawa (dua kanan) dalam perlawanan Liga Premier 2022 di Stadium UiTM Shah Alam.
KUCHING City FC (KCFC) mencatat kemenangan ketiga musim ini dengan menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium UiTM Shah Alam malam semalam.
Gol pertama KCFC dijaringkan Wan Faiz Wan Sulaiman pada minit ke-24 menerusi tolakan bola muntah selepas percubaan rakan sepasukannya terkena tiang gol.
Amir Amri Salleh menambah duka UiTM FC dengan dengan jaringan gol kedua pada minit ke-94.
Ketua jurulatih KCFC, Irfan Bakti Abu Salim berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya pada perlawanan itu.
“Walaupun permainan pada perlawanan ini tidak begitu baik namun pemain yang diturunkan menunjukkan komitmen tinggi,” katanya.
Menurutnya, hasil kerja keras semua pemain, KCFC berjaya membawa pulang tiga mata.
“Kita sentiasa member tumpuan dari perlawanan ke perlawanan bagi memastikan kita tidak keciciran mata,” ujarnya.
Dengan kemenangan itu, KCFC naik ke tangga keempat Liga Premier 2022 dengan 10 mata selepas mencatat tiga kemenangan dan masing-masing sekali kalah serta seri.