KUKUHKAN KEDUDUKAN MALAYSIA… Misi tersebut dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 8 Mei bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan dagang utama. Misi itu penting
bagi Malaysia untuk melibat urus dengan rakan perniagaan Amerika dan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi
Malaysia-AS. Eksport Malaysia ke AS meningkat sebanyak 30.4 peratus kepada RM142.20 bilion, disumbang terutamanya daripada eksport tinggi E&E dan produk getah. Import dari AS juga meningkat sebanyak 7.4 peratus
bernilai RM74.87 bilion (AS$18.06 bilion), disumbang oleh import tinggi E&E dan produk logam. AS merupakan
pelabur asing keempat terbesar di Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan dengan sejumlah 840
projek pembuatan bernilai RM84.97 bilion yang mewujudkan 188,396 pekerjaan.
KUALA LUMPUR: Meluaskan peluang hubungan dua hala dengan agenda utama mengenai inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta daya tahan rantaian bekalan akan menjadi fokus utama semasa misi perdagangan dan pelaburan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke Amerika Syarikat (AS).
Misi tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 8 Mei bertujuan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan dagang utama.
“Misi itu penting bagi Malaysia untuk melibat urus dengan rakan perniagaan Amerika dan mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi Malaysia-AS,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan semalam.
Di Washington, Mohamed Azmin dijadual bertemu dengan Gina M Raimondo, Setiausaha Perdagangan AS dan Duta Katherine Tai, Wakil Perdagangan AS.
Semasa mesyuarat itu beliau akan mengetengahkan keupayaan dan kapasiti Malaysia dalam sektor strategik termasuk memajukan ESG dalam perdagangan dan pelaburan dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).
Mohamed Azmin dan Raimondo juga akan memeterai memorandum kerjasama antara Malaysia dan AS bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam usaha daya tahan rantaian bekalan semikonduktor.
Memorandum itu jelas sekali menunjukkan peranan penting Malaysia dalam memastikan kestabilan rantaian global dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitannya, kata kementerian itu.
“Komitmen padu kerajaan untuk memajukan ekonomi hijau, dasar mesra perniagaan dan langkah komprehensif yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dua hala dengan rakan industri utama akan memangkinkan penciptaan nilai Malaysia dalam menggerakkan daya saing negara.
“Ini sejajar dengan aspirasi negara ke arah pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050 seperti yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” kata MITI.
Menurutnya, dasar Aspirasi Pelaburan Nasional terutamanya akan menjadi topik perbincangan utama semasa misi tersebut
Selain itu katanya, agenda misi tersebut akan termasuk lawatan ke fasiliti dan pertemuan perniagaan bersemuka dengan syarikat utama Amerika serta pelabur berpotensi dalam sektor bernilai tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), peranti perubatan, teknologi logam dan telekomunikasi.
Libat urus itu disasarkan untuk memperoleh peluang perniagaan baharu serta menarik pelaburan berteknologi tinggi, berintensifkan modal dan tokokan nilai tinggi dengan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Pada 2021, AS merupakan rakan dagang dan destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia serta sumber keempat terbesar import. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berkembang sebanyak 21.4 peratus kepada RM217.10 bilion (AS$52.37 bilion) berbanding 2020.
Eksport Malaysia ke AS meningkat sebanyak 30.4 peratus kepada RM142.20 bilion, disumbang terutamanya daripada eksport tinggi E&E dan produk getah. Import dari AS juga meningkat sebanyak 7.4 peratus bernilai RM74.87 bilion (AS$18.06 bilion), disumbang oleh import tinggi E&E dan produk logam.
AS merupakan pelabur asing keempat terbesar di Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan dengan sejumlah 840 projek pembuatan bernilai RM84.97 bilion yang mewujudkan 188,396 pekerjaan.
Pelaburan utama dari AS adalah dalam sektor E&E, mesin serta peralatan dan kimia.
– Bernama