PENGHARGAAN… Dato Sri Dr. Sim Kui Hian menyerahkan bunga kepada wanita di kawasan pasar Batu Kawa sempena sambutan Hari Ibu di Kuching, semalam.
KUCHING: Kumpulan Wanita dan Belia Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kawa memberikan bunga kepada para wanita bersempena sambutan Hari Ibu di kawasan pasar Batu Kawa, di sini, semalam.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ia adalah sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka kepada keharmonian sosial.
Katanya, sambutan Hari Ibu setiap tahun merupakan hari yang penuh kesyukuran dan ia juga bermakna dengan peringatan yang dibawanya adalah penting dan tinggi.
“Kita semua tahu bahawa dedikasi dan pengorbanan seorang ibu kepada anak, keluarga, masyarakat dan juga negara adalah amat tinggi.
“Mereka ialah teras dalam mewujudkan keharmonian sosial dan segala yang mereka berikan tidak boleh digantikan dengan ucapan terima kasih,” ujarnya.
Ujar beliau, Hari Ibu bukan sekadar hari peringatan tahunan, namun kasih sayang terhadap ibu perlu dizahirkan setiap masa.
Katanya, golongan wanita turut memainkan peranan signifikan dalam memerangi wabak pandemik Covid-19.
“Ia amat mengharukan untuk melihat banyak organisasi wanita secara sukarela dan proaktif mengambil bahagian dalam pelbagai kerja pencegahan wabak, termasuk pengedaran makanan, publisiti dan penyertaan dalam kerja bantuan di pusat pemberian vaksin.
“Kita mesti sentiasa berterima kasih kepada ibu dan juga semua wanita atas usaha yang mereka lakukan untuk keluarga dan masyarakat,” tambahnya.
Dalam kesempatan tersebut, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Kumpulan Wanita dan Belia SUPP Cawangan Batu Kawa kerana aktif mempromosikan acara sedemikian.
Beliau juga berharap kedua-dua sayap tersebut untuk menganjurkan acara yang lebih bermakna dari segi sosial pada masa depan supaya dapat bekerjasama bagi mewujudkan Sarawak yang harmoni dan aman.
Turut hadir, Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak Sarawak Tan Kai.
Oleh RYNNA SHA’ERRA