UNTUK ALBUM… Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bergambar bersama tetamu kaum Cina yang turut hadir ke
rumah terbuka Aidilfitri.
KUCHING: Sudah menjadi amalan rakyat Malaysia, tradisi atau amalan rumah terbuka seakan menjadi kemestian bagi setiap perayaan utama seperti Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat.
Pelbagai juadah disediakan bagi menjamu tetamu yang dinantikan kehadirannya.
Pada asasnya, kita melihat amalan rumah terbuka sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka.
Antaranya ialah ia dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan. Warga kota misalnya, mereka tidak punya banyak masa untuk berkenal kenalan dengan lebih rapat dengan jiran mereka disebabkan kesibukan mengejar masa dan kerjaya.
Justeru, tradisi rumah terbuka secara tidak langsung merapatkan hubungan antara jiran tetangga. Inilah peluang untuk mereka mengambil tahu mengenai siapa dan apa pekerjaan jiran serta keluarga mereka.
Era globalisasi kini sudah banyak menjarakkan hubungan antara manusia dengan kehadiran gajet yang canggih sehingga seorang manusia itu tidak bergaul lagi dengan orang di sekeliling. Situasi sebegini amat sukar untuk dibendung apatah lagi kesibukan dengan kerjaya masing-masing.
Jadi, amalan rumah terbuka, sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk sekurang-kurangnya mengenali jiran mereka.
Rumah terbuka Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak kurang hebatnya apabila dihadiri masyarakat daripada berbilang kaum.
Berlangsung di Penview Convention Centre (PICC), rumah terbuka itu dihadiri sekitar 500 tetamu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie berkata, kehadiran masyarakat berbilang kaum jelas mencerminkan rumah terbuka dapat mempupuk perpaduan.
“Kita dapat saksikan semasa majlis rumah terbuka, setiap lapisan masyarakat dan berbilang kaum diraikan.
“Ia membuktikan rumah terbuka merupakan medan untuk menyatukan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Penghulu Ali Amit, Penghulu Ally Matsah, Penghulu Lair Salleh dan Pengerusi Penyelaras Sudin @ Seman Rasit.