KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) memuji Kerajaan Sarawak atas inisiatif menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang dilihat akan mempermudahkan Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 sehingga 2030 nanti.
Inisiatif ini dilihat seperti sinar harapan baharu untuk Sarawak dan meningkatkan keyakinan kepada rakyat untuk menuju ke laluan pemulihan ekonomi yang lebih jelas.
SHEDA gembira menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan dibuka semula.
Menurut kenyataan daripada SHEDA, ahli-ahli SHEDA tidak terkecuali, mereka bersemangat memulakan projek setelah
terhenti sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Secara umum, SHEDA menyokong pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).
Prosedur Operasi Standard (SOP) ini berperanan dalam memastikan keselamatan pekerja dan menghalang penularan Covid-19 di tapak pembinaan dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, SHEDA prihatin dengan syarat wajib bahawa semua pekerja asing perlu menjalani pemeriksaan Covid-19 dan metodologi sebelum mereka dibenarkan bekerja.
“Terdapat ribuan pekerja binaan asing dan mungkin berpuluh-puluh ribu kembali bekerja dan mereka akan bergegas ke makmal ujian Covid-19 swasta di Kuching yang dilantik oleh PERKESO,” menurut kenyataan media SHEDA.
Difahamkan terdapat 12,000 pekerja berdaftar di Kuching dan ini memburukkan lagi keadaan apabila mendapati makmal kehabisan kit ujian dan bekalan akan tiba beberapa minggu.
Ini semakin mengehadkan ketersediaan ujian tepat pada masanya dan semakin memburukkan lagi kelewatan pekerja asing selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Isu seperti ini di Sarawak diburukkan lagi dengan kemungkinan disebabkan oleh kekurangan kemudahan makmal yang disediakan oleh syarikat ujian yang dilantik.
Persatuan Perubatan Malaysia telah mendakwa bahawa keputusan ujian RT-PCR yang diterima setelah tiga hari tidak akan mempunyai nilai klinikal dan tidak menggambarkan status kesihatan orang yang diuji sekarang.
SHEDA merayu kepada kerajaan untuk segera menangani perkara ini kerana permintaan yang tinggi.
SHEDA berharap kerajaan melantik lebih makmal ujian di seluruh negeri, dan mempertimbangkan juga kepercayaan yang diberikan kepada klinik dan hospital swasta yang lain.
SHEDA juga ingin mengusulkan kepada pemerintah untuk mempertimbangkan pengujian semua pekerja binaan asing menggunakan kaedah Rapid Test Kit sebagai pendekatan ideal alternatif sebelum memulakan kerja setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).