MENAKJUBKAN… Peter menunjukkan buah anggur tanamannya jenis Jin Xiu dari negara China
TANGGAPAN yang menyatakan tanaman anggur hanya sesuai ditanam di kawasan atau negara beriklim sejuk adalah tidak benar, apabila buah itu dilihat mampu hidup subur di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia.
Ini terbukti melalui usaha keras Peter Aaron Wee yang berjaya ‘menghidupkan’ tanaman anggur di tepi rumahnya di Jalan Tebu, di sini, dengan menggunakan teknik penanaman yang betul.
Sesiapa sahaja yang berpeluang untuk menjengah ke kebun anggur itu, pasti terpukau melihat puluhan tangkai anggur pelbagai warna yang hampir mekar menghiasi halaman rumahnya.
Lebih mengembirakan lagi apabila pokok anggur jenis anggur Jin Xiu dari negara China yang ditanamnya merupakan yang pertama mengeluarkan buah di Sarawak.
Peter mengakui, menanam pokok anggur dari China itu agak mencabar dan amat memerlukan teknik penanaman dan pencahayaan matahari yang betul.
“Kami penanam anggur jenis dari negara China mempunyai kumpulan di Sarawak. Dalam kumpulan kami pokok anggur tanaman saya yang pertama kali mengeluarkan buah.
“Buah anggur jenis Jin Xiu itu masak selepas Tahun Baharu Cina lalu, buahnya berkualiti dan manis.
“Sementara itu, pokok anggur yang rakan-rakan saya tanam tidak mengeluarkan buah dan ada juga pokok yang mati,” jelasnya.
Mengulas lanjut kaedah penanaman pokok anggur dari China, beliau memberitahu ia memerlukan pencahayaan sesuai untuk mengeluarkan buah yang berkualiti tinggi dan manis.
“Pokok anggur tersebut jika terkena air hujan, bunga dan buahnya akan rosak. Kepada mereka yang hendak menanam pokok anggur mesti membuat bumbung ‘awning’ supaya pokok dan buah anggur tidak terkena hujan.
“Teknik penanaman sebegini akan menjadikan pokok yang sihat, mahu keluar buah yang besar dan manis,” ujarnya.
Katanya, hujan adalah musuh utama tanaman anggur ini dan memerlukan struktur perlindungan hujan bagi memastikan pokok anggur dalam keadaan baik.
Beliau berkata, di sekeliling rumahnya terdapat pelbagai pokok anggur dari China, Rusia dan anggur dari Amerika.
“Apa yang mengejutkan saya, kesemuanya dapat hidup subur di sini, malah rasa manisnya hampir menyamai rasa buah anggur di negara asal,” ujarnya sambil tersenyum.
“Tanaman anggur saya mampu mengeluarkan hasil hingga menjadi tumpuan orang ramai berkunjung ke rumah bagi melihat dan merasai sendiri anggur yang ditanam.
Oleh AKUN GIMAN