KUCHING: Nilai jualan di Medan Niaga Satok (MNS) dijangka akan mencapai sebanyak RM1 juta sepanjang Jualan Semarak Syawal yang bermula pada 24 April hingga 2 Mei 2022.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka sebanyak 797 outlet pemasaran di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Klandee berkata, selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang untuk mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-kuih untuk keperluan Aidilfitri.
“MAFI melalui FAMA akan memastikan bekalan di setiap lokasi in mencukupi dan para pengguna tidak perlu berasa khuatir untuk mendapatkan keperluan.
“….Dan kami (MAFI) beri jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri dan pengguna tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu memandangkan persediaan awal memastikan kelangsungan bekalan sentiasa dibuat oleh Jabatan dan Agensi di bawah MAFI,” jelas beliau ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok, semalam.
Menurut Dr Ronald, dengan pengoperasian 797 outlet pemasaran ini melalui Program Jualan Semarak Syawal pada kali ini, seramai 15,391 orang usahawan akan mendapat manfaat melalui penyediaan ruang-ruang jualan dan program promosi khas Syawal.
“Kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri akan berterusan bagi memastikan MNS akan terus memainkan peranan penting dalam pemasaran produk agromakanan di Sarawak.
“Setiap usahawan di outlet pemasaran FAMA hendaklah mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2022 Hari Raya Puasa yang telah dikeluarkan olen pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),”tegas beliau.
Pada majlis sama, Dr Ronald juga turut menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 50 golongan asnaf dan mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung.
Pihak Agrobank turut bersama menghulurkan sumbangan berupa zakat manakala Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PANESA) iaitu 500kg beras.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (Pembangunan Wilayah) Sarawak Maclaine @ Martin Ben, Ketua Setiausaha MAFI Dato’ Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah FAMA Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli.
Oleh AZREEN KERIA