Selain daripada ritual leluhur terdahulu, kesenian musik tradisional kepada sesuatu budaya turut merupakan salah satu cara untuk mengekspresikan budaya bertujuan mengangkat martabat kebudayaan kaum berkenaan yang merupakan jati diri kaum atau bangsa.
Bagi meneruskan kesenian tersebut, generasi masa kini perlu kembali mengamalkannya dan berpengetahuan mengenai serba sedikit tentang kesenian kaum masing-masing, tidak seharusnya dibiarkan ditelan zaman, kesinambungannya perlu diteruskan.
Menyentuh kaum Iban yang terkenal dengan kesenian Tarian Ngajat juga tidak dapat dipisahkan dengan ‘Tabuh’ iaitu sejenis muzik tradisional yang sesungguhnya sebati dengan amalan budaya kaum tersebut.
Merujuk pula kepada ‘tabuh’, sejarah dan lagenda berkaitan mungkin pelbagai namun antara sumber yang ada mengaitkan ‘tabuh’ sebagai berasal dari dunia dewa kayangan atau alam mitos (mythical realm) yang dinamakan alam ‘Petara Orang Langit Mesai Kepit Sundang Menarang’ atau ‘Orang Panggau Libau Lendat Dibiau Jila Isang’ dan ‘Orang Gelung Batu Nakung Nyingit Nyingung Nenjang Nerabang’.
Sumber kaum Iban turut menyatakan seseorang anak lelaki ‘Orang Panggau’ dan ‘Orang Gelung’ semasa meningkat remaja akan mula belajar ‘betabuh’ dan ‘bergendang pampat’ kerana semasa anak lelaki Orang Panggau dan Orang Gelung membawa ‘kepala’ selepas ‘Ngayau’ (tradisi memburu dan memenggal kepala) mereka akan mengadakan Gawai Burung.
Menurut Nicholl Ragai Lang, 76, pesara kerajaan dan juga merupakan individu berpengetahuan dalam hal adat istiadat dan budaya tradisional kaum Iban, ‘tabuh’ yang dilihat sebagai salah satu elemen adat difahamkan diturunkan dari ‘Petara Orang Langit’ atau ‘Petara Orang Panggau Libau’ mahupun ‘Petara Orang Gelung’.
“Ia bukan sekadar kesenian atau musik tradisional tetapi ‘tabuh’ itu sendiri adalah pelengkap adat dan ritual yang masih menjadi amalan kepada segelintir masyarakat Iban pada ketika ini dan setiap Gawai yang diadakan, ‘pasangannya’ adalah irama ‘tabuh’,“ jelas Nicholl lagi.
Menurut beliau lagi yang juga merupakan Penasihat Persatuan Gendang Pampat serta Main Asal Iban Kuching, ‘tabuh’ dalam kalangan kaum Iban walaupun pelbagai berdasarkan kawasan masing-masing yang meluas di negeri ini tetapi tujuannya tetap sama dimainkan untuk upacara tertentu terutamanya untuk ritual yang berkaitan dengan amalan keagamaan kaum Iban.
Bagi masyarakat Iban di di kawasan Saribas dan Krian di Bahagian Betong, beberapa jenis ‘tabuh’ merupakan praktik utama iaitu Tabuh Gendang Rayah, Tabuh Gendang Pampat, Tabuh Ngalu Sebayan, Tabuh Gunggung, Tabuh Kumang Beradu, Tabuh Kuntau, Tabuh Ajat, Tabuh Ajat Bunuh, Tabuh Pencha, Tabuh Nganjung Anakmit Mandi dan Tabuh Ayun Lundai.
Tabuh Gendang Rayah
Tabuh Gendang Rayah bertujuan untuk mengiringi ritual mengeluarkan bahan dan peralatan penyemahan ‘piring’ dan semasa orang membuat penyemahan ‘miring’.
Ia dimainkan sebagai iringan semasa membawa ‘Igi Mudan’ (Tengkorak Kepala) dan ‘Kenyalang’ (burung enggang simbolik yang diukir dari kayu) keluar ke ‘tanju’ atau ketika membawa ‘Igi Mudan’ dan ‘Kenyalang’ pulang dari tanju (masuk ke rumah), dimainkan ketika tarian ‘Bujang Berani Berayah’ mengelilingi ‘Pun Sabang/Tiang Kenyalang’ semasa ‘Gawai Enchabuh Arung’ (perayaan meraikan hasil tengkorak kepala yang dibawa balik dari pertempuran), Gawai Sandau Hari (perayaan memohon berkat), Gawai Burung dan juga untuk mengiringi permulaan sesi ritual untuk kumpulan ‘Lemambang’ (penyair) yang ‘Nimang Jalung’ dan memulakan sesi ‘Jalai Jalung’ semasa perayaan ‘Gawai Antu’.
‘Tabuh’ ini turut dimainkan ketika sesuatu aktiviti ritual dilakukan seperti ‘Beranchau Tikai’, Ngerandang Jalai, Nirika Pandung dan Ngerumpang Pandung.
Dua jenis gong ‘setawak’ bersaiz besar dan kecil dIsertai gong ‘bebendai’ digunakan untuk menghasilkan paluan bunyi yang berbeza.
Tabuh Gendang Pampat
Tabuh Gendang Pampat lebih kurang sama dengan Gendang Rayah, iaitu untuk mengiringi pengeluaran bahan keperluan miring dan permulaan sesi miring, dan terus dimainkan ketika miring.
‘Tabuh’ ini juga dimainkan ketika mengeluarkan ‘Igi Mudan’ dan ‘Kenyalang’ ke tanju semasa Gawai Enchabuh Arung atau Gawai Burung.
Semasa Gawai Antu, ia dimainkan ketika orang ramai mula berarak untuk turun merendam beras pulut ke sungai yang kemudiannya dimasak dalam buluh untuk jamuan tetamu undangan dan nasi ini dinamakan ‘asi ruas’.
Lestarikan kesenian Tabuh
Persamaan Tabuh Gendang Rayah dan Tabuh Gendang Pampat adalah untuk
(i) Memberitahu kepada dewa-dewa (alam mitos) Orang di Langit, Orang Panggau dan Orang Gelung bahawa penghuni di rumah panjang tersebut sudah menganjurkan perayaan gawai.
(ii) Mengalu-alukan atau menyambut kedatangan roh dewa tersebut dan roh ketua-ketua kaum Iban yang sudah menjadi Tuai Kayau (ketua perang), atau Tuai Iban (ketua Iban) yang melopori pembukaan sesuatu kawasan dahulu kala yang disebut sebagai ‘Tuai Iban ti muai unak muai lemetak, berumpang agang berumpang batang’.
(iii) Menyeru roh dewa yang dinyatakan tadi datang ‘ngabang’ menjadi tetamu bertandang ke perayaan gawai.
Tabuh Ngalu Sebayan
Tabuh Ngalu Sebayan dimainkan untuk mengalu-alukan kedatangan semangat atau roh orang yang telah mati untuk datang bertandang ke jamuan ‘piring’ dan ‘garung’ (‘raga sebayan’) ketika penduduk rumah panjang bersiap sedia menganjurkan Gawai Antu selepas Gawai Nganyam atau ‘nganyam garung’.
Tabuh Gunggung
Tabuh jenis ini dimainkan ketika ‘Ngambi Indu’ iaitu majlis keramaian untuk menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki membabitkan mereka yang memainkan Tabuh Gunggung ini bermula sepanjang perjalanan dari rumah pengantin lelaki sehinggalah sampai ke rumah pengantin perempuan.
Begitu juga seterusnya apabila semasa pihak pengantin lelaki membawa pengantin perempuan balik ke rumah pengantin lelaki Tabuh Gunggung ini juga dimainkan tanpa henti sepanjang perjalanan.
Tujuannya ialah untuk melenyap atau menenggelamkan bunyi kicau ‘burung pembawa pertanda’ dalam perjalanan mereka pergi menjemput dan membawa pulang pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki.
Lima buah gong berbeza saiz apabila dipalu akan menghasilkan irama yang bersahutan dan berterusan.
Tabuh Kumang Beradu
Tabuh Kumang Beradu ini sebenarnya irama yang dimainkan ketika pengantin perempuan menyiapkan diri sebelum keluar duduk bersanding bersama pengantin lelaki pada upacara ‘bebiau’ oleh ‘lemambang’ (penyair) yang akan memberkati perkahwinan pasangan pengantin baharu itu.
Ketika memainkan musik Tabuh Kumang Beradu, pemusik menggunakan sebuah gong ‘bebendai’, satu dram ‘Ketebung’ atau ‘Gendang’, sebuah gong ‘setawak’ dan satu set 7 atau 8 buah ‘Engkerumung’ (set gong kecil kategori idiofon).
Bunyi irama tabuh ini agak perlahan serupa dengan rentak Tabuh Ayun Lundai yang dimainkan untuk mengiringi ‘pengabang’ iaitu tetamu undangan yang diarak berjalan melalui ‘ruai’ rumah panjang.
Tabuh Kuntau
Tabuh Kuntau dimainkan semasa seorang lelaki mempersembahkan seni ‘kuntau’ iaitu sejenis seni mempertahankan diri di majlis keramaian, paluan gendang mengiringi pesembahan tersebut.
Peralatan yang digunakan untuk ‘tabuh’ ini serupa dengan yang digunakan semasa Tabuh Kumang Beradu tetapi bunyi tempo paluan gendang itu lebih laju dan agresif.
Tabuh Ajat
Tabuh Ajat ialah jenis irama gendang yang dimainkan semasa perempuan atau lelaki ngajat (menari ‘ajat’) kerana jika tidak diiringi paluan gendang si penari rasa segan dan janggal untuk menarikan ‘ngajat’.
Peralatan ‘tabuh’ yang digunakan serupa dengan yang digunakan semasa Tabuh Kuntau cuma tempo paluan nya lebih perlahan dan santai atau dinamakan Tabuh Ayun Lundai.
Tabuh Ajat Bunuh
Pada mulanya rentak atau tempo paluan gendang ini perlahan, kemudian semakin laju dan agresif untuk mengiringi langkah tarian ‘ajat’ semasa lelaki yang mempersembahkan ngajat itu mempamerkan aksi diri nya sedang berlawan pedang dengan musuh.
Peralatan gendang yang digunakan serupa dengan yang digunakan semasa Tabuh Ajat.
Tabuh Pencha
Tabuh Pencha ini tempo nya tidak perlahan dan tidak juga laju, dan peralatan yang digunakan juga sama dengan yang digunakan semasa Tabuh Ajat.
Tabuh Nganjung Anakmit Mandi
Rentak ‘tabuh’ ini dimainkan semasa upacara memandikan anak kecil untuk buat pertama kalinya di sungai dan ianya sama dengan rentak Tabuh Ajat.
Paluan gendang ini bermula dari perarakan melalui ruai rumah panjang, sepanjang perjalanan pergi, semasa memandikan anak kecil dan semasa balik dari sungai bertujuan untuk menenggelamkan bunyi kicau burung pembawa pertanda.
Peralatan gendang yang digunakan ialah sebuah gong ‘bebendai’, sebuah gong ‘setawak’ dan satu ‘ketebung’.
Tabuh Ayun Lundai
Tabuh Ayun Lundai dimainkan untuk mengiringi anak angkat ketika dia atau mereka sekeluarga diperkenalkan semasa pesta gawai.
Tujuan ‘tabuh’ ini dimainkan untuk memperkenalkan seseorang anak angkat supaya diketahui saudara mara dan menjadi saksi bahawa anak itu telah dijadikan anak angkat bagi mengelakkan perebutan harta daripada yang layak iaitu anak angkat itu tadi.
Nicholl di akhir perbualan turut menegaskan ‘tabuh’ sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada kaum Iban dan merupakan adat turun temurun, begitu unik dan tidak diketahui ramai termasuk dalam kalangan kaum itu sendiri.
Untuk memastikan kelestarian kesenian atau adat tersebut, ia bukan hanya perlu sekadar diketahui secara lisan tetapi juga perlu didokumentasikan, selagi masih diamalkan selagi itu wajar untuk diselami.
Pada masa sama, perlu diketahui siapa dan di manakah sumber pengetahuan akan sesuatu adat dan budaya itu untuk dijadikan dokumentasi dan rujukan pelbagai pihak terutamanya untuk generasi akan datang.
Permodenan yang dirasai dan dilalui dalam kehidupan ketika ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menenggelamkan sesuatu adat dan kesenian kerana itu semua adalah pusaka begitu bernilai daripada leluhur terdahulu.
Oleh PHILIP NYARU