KETIBAAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika tiba di Masjid An-Nur Sibu.
SIBU: Sarawak akan berkongsi pengalamannya dengan beberapa negara berhubung usaha menerokai ekonomi bentuk baharu dengan matlamat utama membawa negeri itu ke arah pembangunan ekonomi yang pesat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai Ketua Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diberi mandat besar oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), beliau membawa rakyat mengorak langkah ke arah ekonomi bentuk baharu yang berteraskan teknologi.
Menurutnya, pada zaman ini, para saintis memberi amaran kepada manusia sejagat bahawa planet bumi harus dihindar daripada pemanasan atau global warming dengan pengeluaran gas greenhouse akibat aktiviti manusia.
“Sarawak di bawah Kerajaan GPS melihat bahawa usaha dunia untuk mengurangkan global warming suatu peluang yang tidak wujud sebelum ini.
“Oleh yang demikian, lahirlah perlumbaan dunia sekarang ini ke arah ekonomi berteraskan bahan bakar yang kurang kandungan karbonnya, seperti penjanaan elektrik daripada kuasa air, iaitu hidro, penggunaan bahan bakar yang tidak mengeluarkan asap, atau tanpa emisi, tetapi mengeluar air, iaitu gas hidrogen,” jelasnya semasa berucap sempena Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Masjid An-Nur Sibu, semalam.
Pengerusi GPS itu berkata, Sarawak memulakan langkah awal pada 2017 apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Sekarang negara lain mengenali usaha Sarawak dan menjemput saya untuk berkongsi serba sedikit pengalaman yang ada dengan mereka sambil meneroka peluang perkongsian dengan negara-negara luar.
“Minggu hadapan saya akan berucap di Singapura dan pada awal Mei saya akan berucap di Rotterdam, Belanda mengenai ekonomi baharu yang menjadi matlamat Sarawak dan matlamat seluruh dunia maju,” ujarnya.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh AKUN GIMAN