SIMANGGANG: Sudah tiba masanya golongan belia mengambil alih penganjuran seperti pertandingan, program, aktiviti di peringkat kampung.
Ketua Kampung Hulu Lemanak, Jamali Hamden berkata, ia sebagai dorongan agar lebih ramai golongan belia menyertai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
“Kini sudah tiba masanya golongan terbabit dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan penganjuran pertandingan, program dan aktiviti di peringkat kampung.
“Kita beri peluang dan ruang kepada mereka kerana golongan ini adalah merupakan pemimpin pelapis yang bakal mengambil alih kepimpinan di kampung ini pada masa akan datang,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama Belia Kampung Hulu Lemanak di Surau Hayatul Islam di sini, baru-baru ini.
Jamali yang baharu dilantik sebagai Ketua Kampung Hulu Lemanak pada Mac lalu berkata, beliau tidak mahu golongan tersebut terlalu berharap dengan golongan dewasa mengendalikan sesuatu pertandingan atau program.
“Golongan belia ini akan mengambil alih kepimpinan kampung atau daerah suatu hari nanti, tidak kira sebagai seorang wakil rakyat atau ketua masyarakat.
“Generasi muda ini perlu sentiasa tampil ke depan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan dalam usaha melahirkan pemimpin yang serba boleh, berdisiplin, berketerampilan dan belia yang sihat fizikal dan mental. Mereka boleh berlatih mulai sekarang,” ujarnya.
Jamali berkata, golongan belia perlu diberikan lebih banyak peluang untuk terlibat dalam kepimpinan seperti program dan aktiviti di dalam kampung kerana mereka mempunyai potensi untuk tonjolkan diri dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negeri ini.
Beliau turut menegaskan terdapat ramai belia yang berpotensi, tetapi jarang diberikan peluang terlibat sama dalam kepimpinan di peringkat daerah dan kampung itu.
Mengenai penganjuran Pertandingan Lombak Colop 7 Likur di Kampung Hulu Lemanak, Jamali menggesa kepada Belia Kampung Lemanak bersama-sama menjayakan program tersebut.
“Ini merupakan penghargaan kepada golongan itu yang dipertanggungjawab mengendalikan pertandingan itu buat julung kalinya kerana sebelum ini hanya dikendalikan oleh golongan veteran.
“Saya berharap komuniti belia Kampung Lemanak yang terlibat dalam penganjuran itu mampu membuktikan mereka boleh menganjurkan pertandingan itu tanpa penglibatan orang lama di kampung berkenaan,” ujar Jamali.
Beliau juga yakin Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor akan sentiasa membantu dan memberi kerjasama dari segala aspek melibatkan keperluan belia di konstutuensi terbabit.
Oleh ADI SAFARMAN