TAKLIMAT… Dato Sri Lee Kim Shin dan pegawai kementeriannya sedang diberi taklimat mengenai sokongan dan operasi logistik Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) sebaik tiba di hab logistik itu semalam.• Foto BERNAMA
LABUAN: Kementerian Pengangkutan Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan Sabah dan Labuan dalam bidang maritim dan logistik.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kerjasama itu boleh direalisasikan memandangkan kepentingan sektor tersebut untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kementerian ini sedang melihat kepada maritim dan logistik…Sabah dan Sarawak mempunyai persamaan kerana kedua-dua negeri menguatkuasakan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960.
“Kami juga meninjau bidang maritim bersama di Sabah yang ketika ini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia, yang boleh diwakilkan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama selepas melawat hab logistik bersepadu Labuan untuk industri minyak dan gas yang terletak di kawasan Asian Supply Base (ASB) di sini, pada Selasa.
Beliau dan delegasinya disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar B Esteban dan para pegawai kanannya.
Lee, berada dalam rangka lawatan sehari di Labuan, bermesyuarat secara tertutup dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; pihak pengendali Pelabuhan Labuan Liberty, Megah Port Management Sdn Bhd, dan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB).
Beliau melawat kawasan Asian Supply Base yang menempatkan 88 syarikat antarabangsa dan domestik berkaitan minyak dan gas yang ketika ini beroperasi di pangkalan pengoperasian ASB.
Daripada jumlah itu, 16 merupakan kontraktor pengaturan petroleum manakala bakinya iaitu 71 pula adalah kontraktor pengaturan bukan petroleum.
“Saya juga melawat Pelabuhan Labuan Liberty, dan diberi taklimat mengenai aktiviti sokongan logistik dan pengendalian kargo. Saya nampak persamaan (ASB dan pelabuhan itu) seperti di Sarawak kita ada sektor minyak dan gas yang rancak di Miri dan Bintulu,” katanya.
– Bernama