BERMULA sebagai minat dan pujian rakan-rakan dalam menghasilkan pekasam ikan sultan, seorang wanita Dayak sanggup meletak jawatan di sebuah syarikat pekerjaan demi menjadi usahawan sepenuh masa.
Baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sejak tahun lepas, Pamela Malaysia Achoh, 51 yang merupakan pengasas produk ‘Pekasam Mummy Pam’ berkata pekasam ikan sultan yang beliau hasilkan diminati oleh pelbagai bangsa di negeri ini.
“Bisnes ikan pekasam ini bermula sewaktu saya masih bekerja kerana pada waktu itu saya sering membawa bekal ke pejabat meskipun tempat kerja ada menyediakan makanan. Apabila berkongsi makanan dengan rakan sekerja,kebanyakan mereka memberi komen yang positif dan menyarankan kepada saya untuk menjualnya.
“Bermula dari situ, saya mulai menjualnya dalam skala yang kecil sehingga pada suatu saat saya bertekad untuk meletak jawatan dan lebih fokus untuk memajukan bisnes ini setelah ia mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.
Menjelas lanjut, Pamela memberitahu beliau sentiasa menjaga kualiti pekasam yang dihasilkan dengan mengehadkan kuantiti pekasam yang dibuat.
Jelasnya, beliau menghasilkan 25 kilogram (kg) hingga 30 kg sahaja pada suatu masa agar rasa dan kualiti pekasam yang dihasilkan tidak terjejas.
“Saya hanya akan mengambil tempahan yang baharu setelah semua pekasam yang sebelum itu terjual bagi memastikan kualitinya tidak terjejas dan saya bersyukur kerana setakat ini ramai yang berminat untuk membeli pekasam saya terutamanya bangsa Iban, Melayu dan Bidayuh.
“Setakat ini, pekasam ikan ini selalu ditempah untuk pelbagai majlis atau acara misalnya majlis perkahwinan dan pernah sampai ke Sabah. Jumlah pekasam yang ditempah pada waktu itu ialah sebanyak 10 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak-Wanita Dayak Membuat Perubahan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliauPamela yang berasal dari Simunjan turut menzahirkan harapan untuk membuka kedai sendiri suatu hari nanti memberitahu beliau berjaya menjual lebih 30 bekas pekasam ikan sepanjang program tersebut berlangsung.
Tambahnya, beliau juga berpeluang menarik perhatian pengunjung untuk melihat dan ‘merisik’ tikar anyaman beliau yang turut sama dipromosikan sempena program tersebut.
Oleh RYNNA SHA’ERRA