PENGHARGAAN… Drahman Drahman Jaladin menyampaikan cenderamata kepada Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai di sebuah hotel di Kuching semalam.
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Pantai Damai menubuhkan jawatankuasa yang bertindak untuk mendaftarkan golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun sebagai ahli parti.
Naib Presiden PBB Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia selaras dengan pengumuman bahawa PBB akan menubuhkan sayap belianya pada tahun ini.
Katanya, pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang baharu berlalu yang dipengerusikan oleh Pengerusi yang juga merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telahpun mengumumkan bahawa parti PBB akan menubuhkan sayap belia bermula pada 2022 ini.
“Untuk kawasan kita (DUN Pantai Damai) ia amat penting, sama juga dengan kawasan-kawasan yang lain, kalau kita lihat penglibatan anak-anak muda dalam pelbagai arena aktiviti kemasyarakatan itu begitu hebat terutama dalam penggunaan teknologi dan sebagainya.
“Untuk kawasan kita, saya telah berbincang di peringkat cawangan untuk memastikan bahawa kita dapat menggerakkan generasi golongan belia dan beliawanis di kawasan kita untuk didaftarkan sebagai ahli dalam sayap belia PBB N4 Pantai Damai.
“Cara terbaik ialah untuk memastikan bahawa kita dapat mengenal pasti adik-adik kita ataupun anak-anak kita sekiranya mereka berusia 18 tahun sehingga 28 tahun kita daftarkan mereka untuk menjadi ahli sayap belia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan Pantai Damai di Hotel UCSI semalam.
Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman turut menyarakan agar bagi mereka yang mempunyai adik, anak malahan cucu sekalipun yang berusia antara 18 hingga 28 tahun untuk didaftarkan dalam program pendaftaran yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.
“Ini adalah untuk memastikan kita dapat menggerakkan sayap belia kita dalam sistematik dan secara teratur.
“Untuk itu, kita akan tugaskan sayap pemuda dan pergerakan wanita untuk mengadakan program pendaftaran belia berusia 18 hingga 28 tahun untuk kawasan N4 Pantai Damai.
Katanya lagi, program seumpama itu juga merupakan antara aktiviti pertama yang akan dijalankan di semua peringkat cawangan dan di peringkat ranting dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang.
“Ini untuk memastikan bahawa apabila diumumkan secara rasminya kelak penubuhan sayab belia ini di peringkat negeri kita, di DUN Pantai Damai sudah pun ada senarai ahli-ahli PBB berusia 18 tahun ke 28 tahun.
“Jadi kepada ketua-ketua ranting terutamanya pemimpin wanita dan khasnya ketua-ketua pemuda pastikan kita dapat mengajak adik-adik kita yang berada di kampung, di ranting kita untuk didaftarkan sebagai ahli-ahli,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Drahman Jaladin, Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Dayang Nora Awang dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai Seberki Jen.
Oleh JEAKQLEYN YACHO