POTRET…Hasil lukisan potret oleh Qaseena Kassmadi Abdullah
KUCHING: Walaupun baharu berusia 10 tahun, kanak-kanak ini memiliki bakat luar biasa dalam menghasilkan lakaran potret gambar dan animasi.
Qasreena Kassmadi Abdullah, mula mengasah bakatnya dalam seni lukis sejak dari tadika lagi. Tanpa tunjuk ajar sesiapa atau menghadiri mana-mana kelas seni lukis, beliau hanya diberikan pendedahan belajar dan berpandukan tunjuk ajar di Youtube.
Ketika ditemu bual Utusan Sarawak, Qasreena berkata, idola beliau adalah seorang youtuber Floria Erb. Seorang pelukis illustrator dan muralist yang berasal dari Jerman.
Katanya, beliau mampu menghasilkan satu lukisan selama 3 hingga 4 jam bergantung kepada potret gambar yang hendak dihasilkan.
“…suka-suka jak kamek nak melukis tok sebab cuti sekolah nak.Dalam masa yang sama juak nak cari ‘pocket money’ jadi saya meminta keizinan kepada ibu untuk memuat naik hasil lukisan di media sosial (facebook).
“Sekiranya ada yang berminat untuk saya menghasilkan lukisan potret gambar, mereka akan menghubungi saya atau ibu,”katanya.
Jelas Qasreena, tempahan yang diambil dengan harga yang berpatutan sekitar RM10 hingga RM15 bergantung pada lukisan yang hendak dihasilkan.
“Cabaran yang dihadapi adalah tidak semua hasil lukisan yang dilakukan oleh saya seratus peratus serupa dengan gambar yang diminta. Saya masih lemah dalam penggunaan warna, mix dan match warna. Tetapi saya yakin saya boleh menghasilkan sebuah lukisan yang menarik suatu hari nanti.”
Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang doktor juga menyimpan impian untuk menjadi seorang pelukis atau creator movie Hollywood.
“…macam cerita Marvel atau Star Wars.Semoga suatu hari impian saya akan tercapai.”
Sementara itu, Qasreena turut menghasilkan potret gambar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri.
Siapa sangka hanya dengan suka-suka, lukisan beliau tular di media sosial dan rata-rata orang ramai kagum akan kehebatan yang dimiliki oleh si cilik.
Oleh AZREEN KERIA