MASALAH banjir merupakan masalah yang berlaku saban tahun di Malaysia.
Mutakhir ini, banjir dahsyat dilaporkan di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia, termasuk di Lembah Klang dan di kawasan-kawasan berdekatan ibu kota, serta di pantai timur seperti di Kelantan dan Terengganu.
Di Sarawak, bencana itu sering melanda kawasan pedalaman sebelah utara seperti di Lawas, Limbang, dan Baram, serta di kawasan-kawasan tengah seperti Sibu, Kapit, Belaga dan beberapa kawasan di bandar-bandar utama lain.
Baru-baru ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Seri Tiong King Sing telah memberitahu pihak media, beliau telah menzahirkan kecaknaan beliau berkaitan isu-isu banjir yang melanda di beberapa penempatan sepanjang tebing Sungai Rajang dan Sungai Igan ke pengetahuan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari semasa pertemuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru.
Premier kita telah berjanji untuk melawat kawasan-kawasan yang dirujuk bagi mengkaji bagaimana untuk mengatasi masalah itu, menurut Tiong.
Usaha untuk memperolehi teknologi satelit bagi tujuan memperkasakan sistem komunikasi nasional semasa bencana banjir dijangka dapat diputuskan pada tahun ini di seluruh Malaysia, menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Teknologi satelit yang lebih canggih amat diperlukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan agensi-agensi berkaitan bencana, katanya di Johor Bahru baru-baru ini.
Penggunaan teknologi satelit, yang termasuk rangkaian satelit 5G, berupaya membantu dalam pengurusan keadaan-keadaan bencana semula jadi dengan menghantar amaran-amaran awal kepada orang ramai.
Teknologi baharu itu dikatakan berupaya mengenalpasti kemungkinan banjir seperti meramalkan lokasi yang bakal dilanda banjir dan termasuk mengenalpasti magnitudnya sekali.
Kita haraplah pemerolehannya dapat dilakukan secepat mungkin kerana kita tidak ingin melihat rakyat kita di kawasan-kawasan yang malang itu mengalami penderitaan terus-terusan memandangkan kerugian akibatnya bukan kepalang, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar dan pedalaman apabila dusun, kebun dan huma rakyat kita tenggelam teruk.