BERBISA… Takumi Minamino (tengah) menampilkan sentuhan berbisa apabila berjaya meledakkan dua gol
bagi membantu Liverpool layak ke suku akhir Piala FA dengan jaringan 2-1 menewaskan Norwich City, semalam.
• Foto AFP
LIVERPOOL mara ke suku akhir Piala FA selepas dua gol penyerang Jepun Takumi Minamino di babak pertama memastikan kemenangan 2-1 ke atas Norwich City di Anfield.
Tiga hari selepas menjulang Piala Liga untuk trofi major pertama musim ini, Liverpool menguasai pesaing Liga Perdana Inggeris itu di awal permainan.
Gol pertama Minamino melengkapkan gerakan menarik Liverpool dengan Divock Origi, yang diberi peluang memulakan permainan oleh Jurgen Klopp, membuat umpanan untuk rakan sepasukannya itu pada minit ke-29.
Rembatan padu Minamino lapan minit kemudian meletakkan Liverpool selesa di depan dan Alex Oxlade-Chamberlain hampir meledak gol ketiga di pertengahan babak kedua.
Bagaimanapun Norwich cuba bangkit dan Lukas Rupp memberikan harapan dengan merapatkan jurang ketika permainan berbaki 14 minit.
Penjaga gol Liverpool Alisson menafikan peluang Norwich untuk menyamakan kedudukan apabila menyelamatkan percubaan Jonathan Rowe.
“Kami tidak pernah mara ke suku akhir Piala FA di bawah pengendali Jerman itu. Kami melakukan 10 pertukaran dan ia sukar menentang pasukan yang bagus, tetapi kami bermain dengan baik dan menjaringkan gol yang menarik.
“Takumi pemain yang menakjubkan dan malam ini adalah permainan terbaiknya buat kami. Dia sentiasa memberikan ancaman,” kata Klopp yang mempunyai peluang memburu tiga lagi trofi musim ini.
Dalam pada itu, Chelsea turut mara ke suku akhir Piala FA susulan kemenangan 3-2 di Luton yang berlangsung beberapa jam selepas pemiliknya Roman Abramovich mengumumkan untuk menjual kelab berkenaan.
Skuad kendalian Thomas Tuchel bertandang ke Kenilworth Road untuk pusingan kelima Piala FA selepas jutawan Russia itu membuat keputusan menjual Chelsea berikutan konflik di Ukraine membabitkan negara asalnya, Russia.
Jutawan Russia itu terpaksa berbuat demikian kerana bimbang dia akan dikenakan tindakan oleh kerajaan British sekali gus menjejaskan reputasi Chelsea.
Abramovich, yang didakwa rapat dengan Presiden Russia Vladimir Putin akan menyerahkan sebahagian keuntungan jualan kelab kepada mangsa perang Ukraine.
Selepas pelaburan besarnya membantu Chelsea memenangi 19 trofi utama sepanjang 19 tahun memiliki kelab itu, Abramovich mengakui begitu sukar buatnya untuk menyerahkan kelab itu kepada orang lain.
Penyerang Belgium Romelu Lukaku melengkapkan kebangkitan Chelsea untuk memastikan kemaraan ke suku akhir Piala FA selepas dua kali mereka ketinggalan.
Chelsea dibolosi seawal minit kedua menerusi tandukan Reece Burke namun anak buah Tuchel bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan sulung Saul Niguez yang dipinjamkan Atletico Madrid pada Ogos tahun lalu.
Luton sekali lagi mendahului pada minit ke-40 selepas kesilapan Malang Sarr membolehkan Harry Cornick melepasi perangkap ofsaid untuk menyempurnakan hantaran Carlo Mendes Gomes.
Chelsea menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Timo Werner yang meledak gol pertamanya dalam lapan perlawanan selepas mendapat hantaran Ruben Loftus-Cheek.
Lukaku menjaringkan gol ke-11 dirinya musim ini dengan menolak masuk hantaran lintang Werner pada minit ke-78.
Manakala Southampton turut menempah tempat di suku akhir selepas menewaskan West Ham 3-1 di St Mary’s. – AFP