“SARAWAK bukan ‘juara’ dalam kes-kes melibatkan rasuah.”
Demikian antara lain petikan kenyataan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM, Tan Sri Azam Baki. Kenyataan berkenaan diutarakan ketika diminta memberi pandangan tentang ‘Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah: Cabaran dan Masa Hadapan’ pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2022.
Sudah pastinya hal sedemikian memberi sedikit kelegaan dan malah kebanggaan kepada seluruh rakyat wilayah ini. Hakikatnya, kenyataan daripada ketua sebuah entiti berwibawa yang diberikan tanggungjawab serta kepercayaan untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah; membanteras segala bentuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan di samping menjadi agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia ini, suatu pengiktirafan di samping pengabsahan akan komitmen serta langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berfungsi di bawah peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu: menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang pelakuan kesalahan di bawah Akta ini dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya atau pegawai-pegawai itu; mengesan dan menyiasat apa-apa kesalahan yang disyaki di bawah Akta ini; apa-apa percubaan yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan dibawah Akta ini; dan apa-apa komplot yang disyaki untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini; meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam untuk memudahkan penemuan kesalahan di bawah Akta ini dan untuk menghasilkan kajian semula amalan, sistem atau tatacara itu yang pada pendapat Ketua Pesuruhjaya mungkin membawa kepada rasuah; mengarahkan, menasihati dan membantu mana-mana orang, atas permintaan orang itu, tentang cara-cara bagaimana rasuah dapat dihapuskan oleh orang itu; menasihati ketua badan-badan awam tentang apa-apa perubahan dalam amalan, sistem atau tatacara yang sesuai dengan penunaian berkesan kewajipan-kewajipan badan-badan awam itu sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Ketua Pesuruhjaya untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya rasuah; mendidik orang ramai untuk menentang rasuah; dan mendapatkan dan memelihara sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.
Memahami akan fungsi yang dinyatakan, sudah pasti apa-apa penemuan daripada ‘siasatan’ yang dilakukan dilihat sebagai telus dan berintegriti. Lantaran, dalam konteks kenyataan Tan Sri Azam, hal sedemikian berupa suatu lantunan cerminan bahawa gejala rasuah di Sarawak berada pada tahap yang minimum. Untuk menyatakan bahawa wilayah ini bebas seratus peratus daripada gejala rasuah adalah kurang tepat kerana hal demikian dijelaskan lewat kenyataan beliau bahawa trend rasuah di Sarawak tidak meningkat, dan lebih stabil. Malah, beliau memberikan gambaran yang agak membimbangkan berhubung kes-kes yang melibatkan tuntutan palsu dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam. Hal sedemikian berdasarkan jumlah kes tuntutan palsu sebanyak 72 kes, manakala kes salah guna kuasa sebanyak 25 kes yang dilaporkan dari 2017 hingga 2021. Sebanyak 34 tangkapan berhubung tuntutan palsu dan 24 salah guna kuasa dilakukan dalam tempoh berkenaan. Walaupun angka sedemikian dilihat masih pada tahap minimum, namun, tidak mustahil jumlahnya akan bertambah sekiranya usaha pembendungan dan pengawalan sewajarnya tidak dilakukan secara konsisten. Apatah lagi dalam situasi pendepanan pandemik Covid-19 yang menyaksikan setiap daripada kalangan ahli masyarakat terkesan serta terbeban oleh kesan libasannya. Situasi yang tidak mustahil menyebabkan berlakunya amalan ‘penawaran’ dan ‘penerimaan’ rasuah lewat pelbagai kaedah atau cara.
Pendepanan gejala rasuah tidak seharusnya diletakkan kepada bahu pihak berwewenang serta kerajaan semata-mata. Akan tetapi, setiap daripada kalangan masyarakat seharusnya berperanan untuk memastikan gejala ini tidak membudaya dalam apa-apa juga ranah kehidupan. Tidak dapat dinafikan dari segi ‘unsur pikat’ yang ‘ditawarkan’ cenderung untuk menjerumuskan seseorang untuk terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam gejala ini, namun, pemahaman serta pengertian akan kesan yang mampu dihadirkan sewajarnya menjadi ‘benteng’ yang menampan ‘keterujaan’ sedemikian.
Komitmen serta kesungguhan yang dizahirkan pihak Kerajaan Negeri dan Pusat untuk membendung gejala ini tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tidak terdapat sokongan serta kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk masyarakat umum. Pun demikian, di pihak yang berwajib dan berwewenang, nilai ketelusan atau transparency wajar diamal dan dipamerkan ketika mendepani kes-kes yang membabitkan gejala rasuah agar tidak berlaku persepsi umum bahawa wujud unsur ketidaktelusan ataupun ketidakselarasan tindakan serta keputusan pengendalian kes-kes berdasarkan kedudukan ataupun dalam istilah kini, kluster tertentu. Usah ada lagi istilah ‘bilis’ dan ‘jerung’ kedengaran apabila penimbangtaraan dalam kes rasuah dibuat atau dimuktamadkan. Apa-apapun kedudukan seseorang, unsur keadilan wajar ditegakkan.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi semua!