KUCHING: Meskipun penggunaan gelaran “Premier” agak baharu di Malaysia, namun gelaran berkenaan telah diguna bagi merujuk ketua-ketua negeri lain seperti di Australia, kata penganalisis politik, Dr. Ammar Redza Ahmad Rizal.
Menurut beliau, dalam konteks perundangan di Malaysia, penggunaan gelaran tersebut tidak bercanggah dengan Fasal 160 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam Perkara 160, walau apa-apapun gelaran diberikan seperti Premier, Ketua Menteri ataupun Menteri Besar, individu terbabit merupakan ketua bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan (Kabinet Negeri/Exco) dalam sesebuah negeri.
“Namun begitu, penggunaan istilah “Premier Sarawak” mempunyai implikasi secara identiti kepada politik Sarawak dan hubungannya dengan politik di peringkat Persekutuan,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Mengulas lanjut, kata Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, Kerajaan Sarawak kini meletakkan satu lagi penanda aras untuk mengukuhkan pengaruh kuasa mengikut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Sarawak dilihat bergerak ke hadapan menentukan naratif politiknya dan menggunakan gelaran baharu, Sarawak bijak mengatur langkah politik menggunakan kerangka undang-undang (termasuk Perlembagaan) yang sedia ada.
Bagaimanapun, kata Dr Ammar, keadaan ini harus ditelusuri dengan teliti, terutamanya apabila langkah politik diiring rapat dengan kemakmuran ekonomi.
“Sekiranya Kerajaan Sarawak hanya memfokuskan kepada permainan identiti tanpa meningkatkan lagi keupayaan ekonomi, saya berpendapat ia akan memberikan imej yang negatif kepada kerajaan sedia ada.
“Harus diingat, Kerajaan Sarawak ketika ini mempunyai mandat terkuat dengan 76 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah perwakilan daripada parti yang memerintah, iaitu Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Jika dengan mandat kuat ini, Kerajaan Sarawak tidak mempamerkan prestasi yang baik, tidak mustahil ia akan mengundang ‘bahaya besar’ kepada mereka, tambahan lagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang semakin menghampiri,” katanya.
Sementara itu, kata Dr Ammar, amat penting bagi GPS mengekalkan momentum ini bagi membolehkan kerusi Parlimen dikuasai mereka, selain membolehkan mereka mempunyai lebih banyak pengaruh untuk memastikan mereka mampu membawa suara rakyat Sarawak ke peringkat Persekutuan.
Jika tidak, katanya peralihan kepada istilah “Premier” ini akan menjadi modal politik untuk parti-parti pembangkang ,seperti sewaktu perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dahulu, ADUN Pending, Violet Yong, sudahpun memperlihatkan bibit-bibit menjadikan gelaran “Premier” sebagai modal politik beliau.
“Untuk negeri lain, tumpuan barangkali terarah kepada Sabah selaku negeri jiran. Namun, saya berpendapat, tidak akan ada perubahan status quo berkemungkinan besar negeri-negeri berkenaan akan kekal dengan gelaran sedia ada,” katanya.