MENGECAS… Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Dato Wee Hong Seng hadir bagi merasmikan kemudahan Pengecasan BMW i yang baharu sempena menghadiri majlis ‘BMW Group Malaysia mengalu-alukan Masa Depan Elektromobiliti di Sarawak’ di Regas Premium Auto, Jalan Tun Jugah, Kuching, semalam.
KUCHING: Kumpulan BMW Malaysia dan Regas Group melancarkan ketibaan BMW iX dan kemudahan Pengecasan BMW i yang baharu di Regas Premium Auto Kuching, Jalan Tun Jugah, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian berkata, pihaknya amat mengalu-alukan inisiatif pembangunan infrastruktur yang lebih baik tersebut untuk mempercepat penggunaan elektromobiliti dalam kalangan pemandu di Sarawak.
“Keyakinan yang ditunjukkan oleh BMW Group Malaysia dan Regas Group terhadap daya maju industri automotif di sini sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk mobiliti yang mampan.
“Kita berharap lebih banyak pembuat kereta mengambil inspirasi daripada ini untuk turut bekerjasama secara kolaboratif dalam mempertingkatkan ekosistem untuk mobiliti elektro di Sarawak,” katanya.
Menjelas lanjut, Sim menyifatkan pendekatan tersebut penting bagi mengurangkan pencemaran serta bersifat mesra alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementeriannya akan meneliti keperluan untuk mewujudkan infrastruktur dan sistem sokongan bagi memudahkan pengguna kenderaan elektrik seiring peralihan tenaga negara.
“Dengan impak pemanasan global yang semakin meningkat, pemanduan cara baharu ini memainkan peranan yang sangat penting membantu mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang dengan mengurangkan tahap pencemaran seperti pemanasan global yang disumbangkan daripada kereta.
“Justeru, Kementerian saya akan melihat keperluan untuk mewujudkan infrastruktur yang menyokong usaha ini seperti mewujudkan lebih banyak stesen minyak yang menyediakan perkhidmatan untuk mengecas kereta elektrik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri majlis ‘BMW Group Malaysia mengalu-alukan Masa Depan Elektromobiliti di Sarawak’ di Regas Premium Auto, Jalan Tun Jugah, di sini, semalam.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng.
1-3: TINJAU… Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Dato Wee Hong Seng meninjau kereta BMW Ix semasa menghadiri majlis ‘BMW Group Malaysia mengalu-alukan Masa Depan Elektromobiliti di Sarawak’ di Regas Premium Auto, Jalan Tun Jugah, Kuching, semalam.
4-5: MENGECAS… Dato Sri Professor Dr Sim Kui Hian dan Dato Wee Hong Seng hadir bagi merasmikan kemudahan Pengecasan BMW i yang baharu sempena menghadiri majlis ‘BMW Group Malaysia mengalu-alukan Masa Depan Elektromobiliti di Sarawak’ di Regas Premium Auto, Jalan Tun Jugah, Kuching, semalam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA