TERIMALAH… Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyerahkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) kepada Hii Chang Kee sambil disaksikan oleh Datuk Julaihi Narawi, Datuk John Sikie Tayai dan Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya, pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Sibu, semalam.
SIBU: Kepakaran Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) harus digunakan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan tadbir urus, integriti dan membendung gejala rasuah.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019, Sarawak hanya ada 10 orang CeIO.
Katanya, jumlah tersebut telah bertambah kepada 90 pegawai pada hari ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak Akademi Pencegahan Rasuah Malaysi (MACA) atas komitmen dan sokongan dalam mentauliahkan CeIO ini.
“Sehubungan itu, saya mengarahkan semua ketua jabatan untuk mengunakan sepenuhnya kepakaran CeIO ini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2022 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Bagaimanapun, menurut Abang Johari, bilangan CeIO ini masih belum mencukupi.
“Ini disebabkan sebahagian besar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) masih belum mempunyai CeIO.
“Dengan ini, saya mengumumkan Kerajaan Sarawak dengan kerjasama MACA akan meneruskan Program CeIO Siri 3, 2022 bermula Mei ini,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), Abang Johari berkata, kira-kira 67 agensi negeri telah menyiapkan OACP masing-masing.
“Ini menjadikan Sarawak antara negeri yang paling aktif membangunkan OACP berbanding negeri lain dengan bimbingan fasilitator kita sendiri.
“Adalah menjadi tanggungjawab organisasi untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam OACP.
“Oleh itu, saya telah mengarahkan Unit Integriti dan Ombudsman negeri supaya memantau pelaksanaan OACP berkenaan serta melaporkannya semasa mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD