MENGALU-ALUKAN PENEROKAAN PELUANG PELABURAN… Dr. Justin Lee menyerahkan penghargaan
kepada Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sambil disaksikan tetamu yang hadir.
KUCHING: Sarawak mengalu-alukan syarikat Australia untuk meneroka peluang pelaburan di Sarawak, terutamanya dalam bahan api hidrogen dan ekonomi digital di mana Australia mempunyai kekuatan relatif dalam sektor ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah perdagangan antara Sarawak dan Australia bernilai AS$1.1 bilion (RM3.4 bilion) pada 2020.
“Eksport Sarawak ke Australia bernilai AS$0.5 bilion (RM1.5 bilion) terutamanya untuk petroleum mentah, papan lapis dan urea manakala nilai import kami dari Australia ialah AS$0.6 bilion (RM1.8 bilion), terutamanya untuk bijih aluminium.
“Memandangkan jumlah dagangan agak kecil dan memang ada ruang untuk lebih banyak aktiviti perdagangan antara Sarawak dan Australia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Awang Tengah berkata, terdapat juga potensi untuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Ini kerana Organisasi Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) mempunyai kemudahan serta teknologi canggih yang boleh memberi manfaat kepada industri kita di Sarawak.
“Kawasan hutan kita yang besar mempunyai potensi untuk pembangunan perdagangan kredit karbon, selain bergerak ke arah aktiviti berasaskan kayu hiliran bernilai tinggi,” katanya lagi.
Terdahulu, Pesuruhjaya Tinggi Australia Dr Justin Lee mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pejabatnya.
Semasa kunjungan hormat itu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dr. Justin Lee bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai pelbagai subjek di mana Sarawak dan Australia boleh bekerjasama seperti R&D dalam biofarmaseutikal, pendidikan, pelancongan dan pertanian.
Antara yang hadir adalah Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Industri dan Pelaburan, Penasihat MINTRED Sarawak Datuk Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Sarawak Sr. Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap kepada MINTRED Dzulkornain Masron, Pegawai Fungsi Khas kepada MINTRED Datu Liaw Soon Eng.