LEPASKAN GERAM… Kai Havertz melakukan percubaan namun gagal menjaringkan gol semasa perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA antara Chelsea dan Lille di stadium Stamford Bridge di London, semalam.• Foto AFP
CHELSEA menunjukkan mereka boleh berkembang tanpa Romelu Lukaku apabila Kai Havertz menjaringkan gol selepas menggantikan penyerang antarabangsa Belgium itu dengan menewaskan Lille 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA semalam.
Skuad kendalian Thomas Tuchel mengawal pertembungan hasil tandukan Havertz dalam separuh masa pertama dan penyudahan klinikal Christian Pulisic selepas rehat di Stamford Bridge.
Penyandang juara ITU dijangka melengkapkan kemaraan ke suku akhir apabila bertandang ke Perancis untuk perlawanan kedua pada 17 Mac depan.
Bagaimanapun, kemenangan keenam berturut-turut Chelsea dalam semua kejohanan lebih merupakan referendum mengenai teka-teki Lukaku berbanding peluang untuk mengekalkan trofi.
Lukaku hanya menjaringkan 10 gol sejak perpindahan kelab bernilai 97 juta pound dari Inter Milan tahun lepas yang dijangka mampu meneruskan penguasaan berterusan Chelsea.
Dia hanya menyentuh bola tujuh kali dalam kemenangan 1-0 Sabtu lepas di Crystal Palace iaitu jumlah terendah oleh pemain Liga Perdana Inggeris sejak 2003-2004.
Sekurang-kurangnya Tuchel tahu Chelsea mempunyai senjata untuk merobek pasukan lawan sementara pemain tonggak mereka bergelut.
“Untuk Kai, saya sangat gembira. Dia sangat kuat selama beberapa minggu sekarang. Dia benar-benar meningkat. Kadar kerjanya sangat besar. Kawasan padang yang dia liputi untuk kami sangat bagus. Dia tidak pernah malu untuk bertahan.
“Romelu bergelut dalam perlawanan terakhir untuk memberikan persembahan terbaik beliau. Bukan sahaja penat daripada segi mental, tetapi daripada segi fizikal,yang saya boleh fahami. Ia adalah saat untuk berundur selangkah.
“Hari ini kami beraksi bersama pemain lain. Untuk hari Isnin kami mempunyai empat hari untuk pulih dan memutuskan siapa yang bermain,” kata Tuchel.
Ben Chilwell dari Chelsea, Reece James dan Callum Hudson-Odoi mengarak Piala Kelab Dunia mengelilingi padang sejurus sebelum sepak mula.
Bagaimanapun, kemenangan di Abu Dhabi itu hanya akan menjadi catatan dalam kisah musim Chelsea jika mereka tidak melakukan penyudah yang kuat untuk kempen yang tidak konsisten.
Ini adalah satu langkah ke arah yang betul dan Havertz tidak mengambil masa lama untuk terlibat. – AFP