GEMBIRA…Para Pemain Spurs meraikan kejayaan menewaskan tuan rumah, Manchester City dengan jaringan
3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam. • Foto AFP
Manchester City akhirnya ‘tersungkur’ selepas tandukan minit ke-95 Kane iaitu beberapa saat tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Riyad Mahrez, sekali gus memberikan kekalahan pertama buat pendahulu liga itu selepas 16 perlawanan.
“Kami tidak perlu tewas sebarang perlawanan untuk sedar betapa sukarnya (memenangi liga). Masih ada banyak perlawanan untuk diharungi,” kata Guardiola.
Conte pula berjaya mengelak daripada merakam kekalahan keempat berturut-turut yang pertama dalam kariernya selepas persembahan cemerlang Kane dan Son Heung-min pada babak kedua.
“Pertama sekali saya benci kekalahan. Reaksi kami cukup penting. Kemenangan ini akan memberikan kami lebih keyakinan. Bukan mudah untuk bertemu Manchester City selepas tiga kekalahan berturut-turut,” kata Conte.
Spurs kini melonjak ke tangga ketujuh liga dan hanya empat mata di belakang Manchester United yang menghuni tangga keempat tetapi bermain lebih dua perlawanan berbanding anak-anak buah Conte.
Sementara itu, Newcastle meneruskan kebangkitan memberangsangkan di bawah kendalian Eddie Howe apabila meraih satu mata dengan mengikat West Ham 1-1.
Keputusan itu membolehkan mereka kini lima mata di atas zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Anak buah Howe itu belum lagi tewas pada tahun ini walaupun keputusan terbabit menamatkan rentak kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Craig Dawson bagaimanapun meledak gol pembukaan buat West Ham apabila menanduk masuk sepakan percumaAaron Cresswell pada minit ke-32.
Sebelum itu, Martin Dubravka menepis percubaan Jarrod Bowen yang hinggap di palang.
Namun pelawat memanfaatkan kesilapan pertahanan di penghujung babak pertama menerusi penyudah Joe Willock sebelum babak pertama berakhir.
Keputusan seri itu menyaksikan Newcastle kekal di tangga ke-17 dan lima mata berkelebihan di atas Norwich, sementara West Ham terlepas peluang mendaki ke slot Liga Juara-Juara apabila kekal di tangga kelima.-AFP