APABILA berbicara tentang seni kreatif, bentuk dan sifatnya lazim dilihat sebagai mencakupi penghasilan karya seperti penulisan karya sastera (novel, cerpen, puisi, drama, esei); seni persembahan (muzik, tarian, teater tradisional, teater moden, komedi, puisi); seni tampak (lukisan, arca, ilustrasi, kaligrafi/khat, fotografi, kartun, ukiran, instalasi); reka bentuk (percetakan, pakaian, hiasan dalaman, produk perindustrian); perfileman (filem/video, termasuk dokumentari dan animasi); kraftangan, persilatan dan sebagainya.
Terdapat persempadanan pemisah antara seni kreatif dan seni budaya. Untuk melihat dan menyelami secara jelas, wajar difahami dahulu akan maksud perkataan seni, kreatif dan budaya. Seni, andai dirujuk entri Kamus Dewan edisi keempat, mambawa empat maksud, iaitu pertamanya, ‘halus (kecil, elok), tipis dan halus; enak didengar (suara); comel (bentuk badan)’; manakala maksud keduanya adalah, ‘karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat (kecekapan), hasil daripada sesuatu ciptaan; kebolehan mencipta sesuatu (lu- kisan, ukiran dan lain-lain) yang indah-indah’; ketiganya (istilah Indonesia Belanda), ‘seseorang yang mempunyai kebolehan untuk mencipta sesuatu yang luar biasa’; dan maksud terakhir (juga istilah Indonesia Belanda), ‘bahagian kejuruteraan dalam tentera’.
Perkataan kreatif pula ditakrifkan sebagai ‘mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baharu dan asli’. Manakala kata budaya pula dirakamkan membawa tiga maksud iaitu, pertamanya, ‘tamadun dan peradaban’, keduanya ‘kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya’, dan ketiganya, ‘bersifat budaya, yang mengenai budaya’.
Daripada takrifan ini, dapat difahami bahawa ‘seni kreatif’ lebih menjurus kepada penghasilan karya daripada keupayaan akal fikiran yang memiliki sentuhan kehalusan dan keunikannya sendiri. Manakala ‘seni budaya’ lebih menjurus kepada nilai-nilai kehalusan yang tertitip dalam kehidupan manusia, baik dari segi berfikir, berkelakuan, cara berkomunikasi, adat resam dan seumpamanya. Wajar difahami bahawa tidak setiap unsur yang tertampil dalam budaya itu bersifat kreatif. Malah, dalam ranah tertentu, kreativiti yang ditampilkan tidak semestinya berbusanakan nilai seni.
Kreativiti lazim dikaitkan dengan keupayaan menerjah ke luar sempadan kelaziman dengan penampilan idea-idea atau unsur-unsur baharu, yang memerlukan daya pemikiran yang imaginatif. Semua orang mampu berimaginasi, namun, tidak semua imaginasi itu bersifat kreatif serta mengandungi nilai-nilai positif. Dunia kepengarangan misalnya, memerlukan daya pemikiran yang kreatif dan imaginatif. Namun demikian, dari aspek karya yang bersifat ilmiah atau separa ilmiah, unsur imaginatif dan kreatif kurang tertampil memandangkan genre sedemikian berlandaskan kajian, data serta fakta yang kukuh serta boleh dipercayai. Lantaran itu, seni kreatif terpisah dalam ruang lingkup yang agak berbeza.
Kekeliruan dan ketidakfahaman mentafsir seni kreatif sering menimbulkan persepsi ‘me- nyimpang’. Seni kreatif jarang- jarang dimasukkan dalam agenda utama apabila pelarasan dihalatujukan kepada soal kemajuan dan pembangunan secara fizikal. Sisi yang sering dikesampingkan adalah unsur kemajuan dan pembangunan pemikiran serta akal budi yang menjadi teras pemba- ngunan modal insan yang tinggi nilai akhlaknya. Apatah lagi dari segi pengekalan ketamadunan bangsa mencitrakan keagungan serta kehebatan sesebuah bangsa. Lantaran hakikat sedemikian, seni kreatif dilihat semata-mata sebagai unsur ‘hiburan’ atau ‘penglipur lara’ dalam ruang istirahat dan persantaian untuk melegakan ketenangan emosi dan perasaan. Persepsi yang menempatkan seni kreatif pada senarai ‘tercorot’ agenda utama negara, amnya.
Pembelaan yang diharap-harapkan untuk membangunkan serta melestarikan bidang ini seakan-akan tidak diberikan fokus sewajarnya. Hanya apabila tertular tentang nasib malang yang dialami karyawan yang telah banyak memberikan sumbangan, barulah kedengaran bisikan simpati dan luahan rasa empati. Malah, dalam situasi tertentu, pengiktirafan sewajarnya hanya diberikan secara post humus.
Andai ditaakul secara mendalam, sumbangan golongan yang terlibat dalam seni kreatif tidak kurang pentingnya berbanding bidang-bidang lain. Karyawan dan seniman memiliki keupayaan untuk melihat kehidupan lewat sisi pandangan yang meluas serta mencakupi pelbagai bidang. Apa-apa yang dialami, dilihat dan dirasai, di- terjemahkan dalam bentuk hasil karya yang sarat dengan teguran berkias. Teguran yang mampu mengubah iklim persekitaran kehidupan secara holistik. Sudut yang amat jarang-jarang sekali ditaakuli dan ditafsir oleh keba- nyakan orang.
Bukan tujuan penulis untuk membuka ruang polemik. Pun bukan sebagai arena untuk menunding jari kepada mana- mana juga pihak. Akan tetapi sekadar meninta pandangan yang dirasakan wajar untuk diperkatakan dan diberikan pandangan pihak-pihak tertentu dalam usaha memartabatkan dan memasya- rakatkan seni kreatif tanah air.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!