PADA 15 Februari (Selasa) lepas Rang Undang-undang Tafsiran (Pindaan) 2022 telah diluluskan sebulat suara dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri.
Antara lain, pemindaan RUU itu termasuklah untuk mengemas kini senarai kaum Bumiputera Sarawak dengan memasukkan 12 lagi kaum tambahan dalam jadual Ordinan Tafsiran pada Klausa 6 (a) Artikel 161A Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, dalam Jadual Ordinan Tafsiran 2005, etnik minoriti yang terdiri daripada Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dalik, Jatti Meirek, Lakiput, Narom, Sa’ban, Tatau, Tring, dan Vaie tidak disenaraikan di bawah kategori Bumiputera, hanya dalam kelompok “lain-lain”.
Perkara ini amat lantang disuarakan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika beliau menjadi Ketua Menteri ke-5 Sarawak, dan kini ia direalisasikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah teraju Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari.
Begitulah keadaannya, akibat kestabilan politik di Sarawak, apa-apa yang diimpikan rakyat jelata, dapat dilaksanakan, waima mengambil masa yang lama, namun tetap terlaksana walaupun tampuk pemerintahan berpindah tangan, kerana tangan yang pergi menghulur legasi, dan tangan yang datang menyambutnya dengan penuh tanggungjawab serta ketekunan yang tulen.
Teruja
Sudah tentu sekali kelulusan RUU berkenaan amat dialu-alukan oleh etnik-etnik minoriti berkenaan memandangkan tindakan berkenaan juga satu pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum di Sarawak yang jauh lebih unik sifatnya berbanding dengan komposisi masyarakat rakan kongsi kita di sebelah Persekutuan Malaya.
Kita rakyat Sarawak, pada keseluruhannya, berasa teruja dengan pindaan yang amat positif sekali itu dalam menampilkan lagi rakan-rakan kita yang selama ini terasa curiga akan status mereka dalam masyarakat kita ini.
Apabila sudah mendapat pengiktirafan sedemikian, maka mudahlah bagi setiap etnik menyerlahi identiti keturunan masing-masing, serta karektor sosial, kebudayaan dan asal-usul masing-masing.
Apa yang menarik mengenai pindaan itu adalah, ada dalam kalangan rakyat Sarawak sendiri tidak sedar yang masih wujud beberapa kelompok lagi rakyat kita yang sepatutnya menikmati taraf Bumiputera telah ditiadakan dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum ini.
Malah, ada dalam kalangan kita berasa belum pernah mendengar akan kewujudan kelompok-kelompok etnik tertentu, kecuali bagi mereka yang rajin membaca makalah-makalah, journal dan tulisan-tulisan pakar penyelidik terdahulu seperti yang terkandung dalam Sarawak Gazette, Journal Muzium, buku-buku sejarah, dan seumpamanya.
Malah, bagi peminat sastera tradisi seperti syair, pantun, penglipur lara dan seumpamanya, hanya mereka yang ‘tajam’ dan tekun akan kesenian dapat menangkap isi kandung yang mengaitkan pekuliariti etnik-etnik yang ‘terpinggir’ itu.
Mujurlah, akibat kegigihan dan kesungguhan GPS, maka hak itu berjaya diambil kira dan kita pun dapatlah berbangga bahawa warna-warni kepelbagaian masyarakat Sarawak jauh lebih gemilang lagi.
Selepas ini wajarlah etnik-etnik yang baru disenaraikan itu menampilkan diri untuk diperkenalkan secara lebih mendalam lagi melalui acara-acara seperti Simposium Budaya, Simposium Bahasa, tarian-tarian, pertunjukan adat resam dan seumpamanya.
Hal ini kerana, masing-masing etnik yang selama ini ‘tersorok’ daripada khalayak sebenarnya juga memiliki identiti sendiri yang jarang-jarang atau belum pernah diketahui umum.
Bagatan
Sebagai contoh, tidak ramai yang tahu bahawa etnik Bagatan itu juga dikenali sebagai Bekatan atau Bukitan. Mereka asalnya adalah dari kalangan kaum Kenyah, yang berasal dari Kapuas, Kalimantan, kemudian berpindah ke daerah kecil seperti Merit dan Metah dalam Bahagian Kapit, Sarawak, selain ke beberapa daerah kecil dalam Bahagian Bintulu.
Lama-kelamaan, ada daripada kalangan mereka yang memperoleh pendidikan yang baik, berkhidmat dalam sektor kerajaan dan swasta, dan ramai yang kahwin campur dengan etnik-etnik lain. Terdapat segelintir pula yang dikatakan berpindah ke Saribas dan Kalaka.
Ada dalam kalangan etnik Bagatan ini yang sudah turut serta dalam media sosial kontemporari sehingga ada yang menulis blog sendiri dengan menyatakan mereka anak Bagatan yang bangga dengan keturunan mereka, walaupun mereka masih samar-samar akan asal-usul mereka kerana tiada banyak dokumentasi tentang etnik mereka peroleh.
Sebagai contoh, ada satu blog bertarikh 25 Mac 2011 yang diposkan oleh seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai “phine”, menyatakan dirinya sebagai “Dayak Bagatan” dan ayahnya selalu berpesan kepadanya supaya jangan lupa memperkenalkan diri sebagai anak Bagatan dengan bangga.
Posting itu mendapat respons dari seorang “Dayakguy” pada 7 November 2015 dengan pertanyaan: “Yang ditulis ini dayak bagatan tu, sama nda’ dengan Dayak Baketan/Bukitan? Klo ia, asal Baketan dr daerah kami di Embaloh, yaitu Palin, Kapuas ulu … kalau dayak baketan di utara dibilang dayak Seru’…dayak Baketan td migrasi di Palin ke Batang Aik, dan Saribas, dan yang pindah ke daerah Kalaka dibilang Dayak Sru’…kedatangan Ibanic mengalahkan Baketan tadi di daerah Saribas-Skrang, maka perpindahan lagi Baketan ke daerah Ulu Rajang juga Kakus. Ga’ tau kalo maseh ada Baketan di sana.”
Seorang lagi menamakan dirinya SaifulMS menyatakan datuk beliau ialah orang Baketan yang berasal dari Indonesia tetapi menetap di Sarawak. “Saya masih mencari-cari keluarga keturunan dari bangsa Baketan.”
Begitulah wujudnya etnik Bakatan yang masih ramai belum ketahui.
Bakong, Dalik dan Jatti Meirek
Dari aspek penuturan Bakong, Dalik dan Jatti Meirek serumpun cara pengucapan mereka, cuma ada sedikit perbezaan akibat pengaruh kawasan tempat mereka berpindah yang membezakan mereka sehingga dikenali dengan nama etnik masing-masing.
Hal yang pasti, ramai dalam kalangan orang Bakong, Dalik dan Jatti Meirek menyatakan mereka berasal dari Belait, Brunei dan telah berpindah kemudiannya – di Beluru (bagi etnik Bakong) dan di Miri serta Sibuti (bagi Dalik dan Jatti Meirek).
Malah ramai dalam kalangan mereka mengakui mereka masih ada sanak saudara yang masih menetap di Belait.
Saban dan Tring
Dua etnik ini mempunyai kebudayaan dan adat resam yang hampir sama dengan kaum Kelabit kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama.
Etnik Saban kebanyakannya menetap di Long Bagan, Long Puak (Ballong) dan Long Peluan dalam daerah Marudi, manakala etnik Tring, ramai yang masih menetap di Long Terawan di kawasan Sungai Tutoh Bawah selain di Hulu Baram.
Kepupusan bahasa pertuturan?
Menurut kajian Profesor Asmah Haji Omar, yang banyak mengkaji tentang bahasa, kebanyakan etnik minoriti ini menghadapi masalah mengekalkan bahasa pertuturan asal. Beliau menyifatkan kebanyakan bahasa peribumi Sarawak bersifat ‘bahasa memori’ kerana tiada teks bertulis yang ada dalam sebarang pendokumentasian.
Hanya mutakhir ini ada beberapa usaha oleh etnik-etnik seperti Vaie, Kelabit dan Jatti Meirek menerbitkan daftar kata, dan kamus sebagai langkah untuk menyelamatkan bahasa masing-masing daripada kepupusan.
Dalam buku mutakhir Asmah Haji Omar yang diusahakan bersama-sama dengan Norazuna Norahim berjudul “Indigenous Communities and Languages of Sarawak, Malaysia” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur pada tahun 2020, bahasa Iban dan bahasa Melayu Sarawak dikategorikan sebagai paling selamat; bahasa Bidayuh dan bahasa Melanau sebagai selamat; manakala bahasa Kenyah dan bahasa Lun Bawang di bawah kategori terancam.
Bahasa-bahasa yang dikategorikan sebagai ‘moribund’, iaitu berkemungkinan pupus jika tiada usaha konkrit dilakukan terdiri daripada bahasa Lakiput, Narom, Bakong, Dalik di kawasan Lembah Baram dan bahasa Kejaman, Sekapan, Lahanan, Bukitan, Ukit dan Sian di kawasan Lembah Rajang.
Bahasa-bahasa yang sudah pupus ialah dari etnik Lelak (Lembah Baram), dan etnik Seru (Kajang).
Peruntukan khas
RUU Pindaan yang sudah diluluskan itu ada peruntukan khas untuk menambah pindaan bagi mengelak sebarang eksploitasi daripada mana-mana pihak.
Hal sedemikian ini juga turut bermakna bagi mana-mana etnik minoriti yang terlepas daripada senarai untuk dimasukkan, ada kemungkinan boleh ditambah lagi.
Sebagai contoh, etnik Iban Remun yang ada sekitar 35,000 orang di 35 buah kampung yang ada di Serian, Balai Ringin dan Simunjan seperti yang pernah diketengahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Semuja, John Ilus, semasa perbahasan.
Sekiranya terlepas senarai, mungkinkah boleh dikategorikan di bawah kaum Iban?