SIMBOLIK… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pelancaran Projek Khas sambil disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk menambah baik pengurusan di pusat khidmat bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengurusan rekod pusat khidmat di setiap kawasan DUN adalah penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dan masalah dapat dikenal pasti serta diatasi.
Abang Johari berkata tahun ini, sejumlah RM242.5 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Projek Khas bagi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Rekod bagi setiap projek yang dilakukan adalah penting. Sekiranya pengurusan rekod ini kita boleh urus dengan baik, sudah tentu tiada masalah untuk menunaikan janji kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Khas di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memastikan tatacara pengurusan pusat khidmat masing-masing selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam projek berkenaan.
“Sekarang kita sudah mempunyai buku mengenai garis panduan bagi pengurusan projek dan tatacara pengurusan pusat khidmat wakil rakyat supaya anda mengetahui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi dari segi menguruskan projek,” katanya lagi.
Dalam majlis itu juga, Ketua Menteri turut mengumumkan mengenai pelantikan Dato’ Ibrahim Baki sebagai Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, barisan Menteri-Menteri, barisan Menteri Muda-Menteri Muda, dan ADUN-ADUN dari GPS.