SYARIKAT AEROANGKASA TERBESAR DI DUNIA… Collins Aerospace akan melabur lebih daripada RM16 juta untuk mengembangkan perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya (MRO) di Malaysia dengan berpindah ke kemudahan baharu di Taman Aerotech Subang.
KUALA LUMPUR: Collins Aerospace, satu daripada syarikat aeroangkasa terbesar di dunia akan melabur lebih daripada RM16 juta untuk mengembangkan perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya (MRO) di Malaysia dengan berpindah ke kemudahan baharu di Taman Aerotech Subang.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, kemudahan baharu seluas 160,000 kaki persegi itu akan menjadi satu daripada hab serantau Collins Aerospace bagi penyenggaraan komponen pesawat.
Taman Aerotech Subang merupakan taman teknologi tinggi dan penerbangan perindustrian seluas 24.28 hektar terletak di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Airport (Subang Airport) yang dibangunkan oleh MAHB sebagai sebahagian daripada pembangunan Aeropolisnya.
“Sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan itu, kemudahan tersebut akan menambah keupayaan MRO baharu bagi mesin kitar udara, penukar haba, pemula enjin, injap, kipas dan sistem penggerak Collins Aerospace.
“Kemudahan itu akan menyokong pelbagai pesawat termasuk B787, B777X, A320, A380, ATR 42 dan ATR yang memboleh masa mendarat dan berlepas yang lebih pantas dan perkhidmatan lebih cekap kepada pelanggannya di rantau ini,” kata MAHB dalam satu kenyataan semalam.
Kemudahan itu juga akan bekerjasama rapat dengan Collins Innovation Hub di Singapura untuk meneroka cara baharu bagi menggunakan teknologi canggih untuk meningkatkan kualiti dan aliran pembaikan, kata pengendali lapangan terbang itu.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pengembangan operasi Collins Aerospace di Malaysia dijangka memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri aeroangkasa negara.
Beliau berkata, Lapangan Terbang Subang telahpun menjadi pusat tumpuan rantaian bekalan aeroangkasa nasional dengan kehadiran pemain global seperti Spirit AeroSystems, Airbus Helicopters, Leonardo, Execujet dan Dassault Aviation.
“Collins Aerospace bukan hanya sekadar mengembangkan operasi mereka dari segi kapasiti tetapi juga memperkenalkan keupayaan canggih di kemudahan MRO baharu ini. Semua ini akan membantu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau ini.
“Ini sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara,” kata Iskandar Mizal.
Beliau berkata, ketika ini terdapat lebih 60 syarikat beroperasi di Subang Airport yang menyokong lebih daripada 4,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.- Bernama