Dato Seri Karim Abdul Rahman Hamzah
KUCHING: Penggunaan istilah ‘Premier’ bagi merujuk jawatan Ketua Menteri boleh digunakan setelah ia diwartakan secara rasmi oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dari segi perundangan ia sepatutnya digunakan setelah digazetkan berdasarkan keputusan yang dicapai oleh DUN.
“Berdasarkan apa-apa yang telah dipersetujui dan dirumuskan dalam DUN, akan ada proses seterusnya setelah ia diluluskan dalam situasi mana ia perlu dibawa kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, sebelum digazetkan.
“Selepas digazetkan (diwartakan) baharulah istilah itu secara rasmi diguna pakai dan satu tarikh akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri untuk memaklumkan berhubung perkara itu,” katanya ketika ditemui media di bangunan DUN Sarawak di sini, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu mengenai penggunaan istilah ‘Premier’ setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2022 berhubung penggunaan istilah ‘Premier’ bagi mengantikan terma Ketua Menteri diluluskan pada persidangan DUN Selasa lalu.
Bagaimanapun tambah ADUN Asajaya itu lagi, secara peribadi beliau berpendapat bahawa istilah ‘Premier’ boleh digunakan serta merta susulan RUU telah diluluskan baru-baru ini.
“Bagi saya, jika orang ramai mahu menggelar pemimpin Sarawak dengan panggilan tersebut pun, sudah boleh kerana terdapat ramai rakyat, terutama pengguna media sosial telah menggunakan istilah tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai tempoh masa yang diambil untuk mewartakan istilah ‘Premier’ dalam perundangan, Abdul Karim berkata ia mungkin mengambil masa antara seminggu mahupun berbulan.
Jelasnya, kebiasaannya pewartaan sesuatu perkara dalam perundangan tidak mempunyai tempoh masa yang spesifik, malah kadangkala boleh diwartakan dalam masa sehari sahaja.
“Jika kerajaan mahu ia diwartakan dalam masa terdekat, maka ia akan diwartakan terus. Lebih baik ia dipercepatkan, kalau ditunggu berbulan-bulan akan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat,” katanya.