BEKAS penyerang remaja England, Keanu Marqheal Marsh Brown sah bersama Kuching City FC untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2022.
Pengerusi Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman menjelaskan pemain berusia 29 tahun itu adalah pemain import asing yang keempat dan bakal memperkuatkan jentera serangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim.
“Marsh Brown adalah pemain import keempat pasukan Kuching City dan dia akan bergandingan dengan Abu Kamara di bahagian jentera serangan skuad musim ini.
“Beliau (Marsh Brown) mempunyai dua warganegara, dimana beliau pernah bermain skuad remaja England sebelum dia menjadi pemain kebangsaan Guyana,” katanya pada sidang media semasa majlis menandatangani kontrak pemain terbabit semalam.
Fazzrudin berkata beliau amat yakin kehadiran Marsh Brown dapat memberi impak positif terhadap usaha pasukan itu untuk memberikan saingan dalam kempen pada tahun ini, sekaligus merealisasikan hasrat pasukan untuk ke pentas Liga Super musim depan.
“Saya sangat yakin, beliau akan memberi impak positif kepada peluang pasukan kita untuk memberikan saingan pada tahun ini,” ujarnya.
Marsh Brown memulakan perjalanan bolasepak beliau dengan menyertai akademi Arsenal dan seterusnya bergraduasi di akademi Fulham sebelum menandatangani kontrak profesional pertama bersama Fulham pada tahun 2009.
Beliau pernah menyertai pasukan MK Dons, Dundee United, Oldham Athletic, Yeovil Town, Barnet, Forest Green Rovers, Dover Athletic dan Newport County sebelum berhijrah ke benua Amerika untuk menyertai Memphis 901 pada tahun 2020.
Kelab terakhir beliau adalah East Riffa di liga tertinggi Bahrain. Kini, Keanu Marsh-Brown bersama Kuching City FC dalam misi ke Liga Super 2023.
Semoga dengan kehadiran beliau dapat melengkapkan dan memantapkan lagi KCFC.
Dalam pada itu, Kuching City sebelum ini telah mengesahkan tiga pemain import asing mereka untuk musim ini iaitu Aylton Ferreira Ananias, Yuki Tanigawa dan Abu Kamara.
Majlis ringkas menandatangani kontrak Keanu Marsh-Brown yang merupakan import keempat Kuching City FC telah berlangsung di Pejabat Kuching City FC pagi tadi.
Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandi Ali Hassan, Pengurus Pasukan, Kamaludin Akil dan Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.
Oleh ADI SAFARMAN