TUNJUK AJAR … Irfan Bakti bakal menyelesaikan misinya bersama Kuching City FC sebelum mengumumkan
persaraannya mulai tahun depan. • Foto Media KCFC
JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim akan menyelesaikan misinya bersama Kuching City FC musim ini sebelum mengumumkan persaraannya mulai tahun depan.
Beliau yang juga pernah membawa pasukan Terengganu muncul juara Piala FA pada 2011 itu mahu menamatkan kariernya dengan noktah cemerlang iaitu membawa pasukan The Cats itu beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023.
“Insya-Allah musim ini adalah tahun terakhir saya bergelar jurulatih bola sepak selepas lebih 26 tahun bergiat aktif dalam bidang itu sejak berumur 45 tahun lagi.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk berehat dalam sukan yang diminati ini sekali gus memberi peluang kepada jurulatih lain untuk meneruskan kerjaya mereka dalam bidang kejurulatihan ini,” katanya.
Irfan yang kini berusia 72 tahun telah memulakan karier sebagai jurulatih profesional pada 1999 dengan mengendalikan pasukan Negeri Sembilan.
Irfan merupakan antara jurulatih tempatan terkemuka apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan Liga Super seperti Terengganu, Selangor dan Felda United.
Beliau memenangi Piala FA bersama Terengganu pada 2011 dan naib juara Piala Malaysia juga tahun yang sama.
Irfan juga membantu Terengganu meraih tempat kedua Liga Super pada 2011 dan 2018.
Bersama Felda pula, Irfan membantu pasukannya meraih naib juara Liga Premier pada 2014, naib juara Piala FA 2014 dan naib juara Liga Super pada 2016.
Irfan Bakti yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro A sebelum itu juga pernah berkelana ke Indonesia pada 2007 melatih kelab Persipura Jayapura sebelum kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga M) membimbing skuad Perlis setahun kemudian.
Sepanjang kariernya, sebanyak sepuluh pasukan sudah mendapat sentuhan jurulatih paling senior dalam Liga M itu termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Telekom Melaka, FELDA United dan Penang FC.
Oleh ADI SAFARMAN